[ad_1]
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman menegaskan bahawa Op Selamat yang telah dilaksanakan selama 10 tahun ini bukanlah untuk mengganggu perjalanan para pengguna jalan raya untuk ke destinasi pilihan termasuk pulang ke kampung halaman. Sebaliknya ia adalah bagi melancarkan lalu lintas dengan meminimumkan kes kemalangan dan mendidik pengguna jalan raya supaya lebih berhemah.
Menurut Pengarah JSPT, Datuk Seri Mat Kasim Karim, sepanjang operasi, Op Lancar turut dilaksanakan di kawasan hotspot yang dijangka berlaku kesesakan aliran lalu lintas, akibat pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung dan kembali semula selepas tamat musim perayaan nanti.
“Petugas PDRM juga akan ditempatkan di lokasi yang dikenal pasti bagi tujuan bantuan dan keselamatan pengguna. Seluruh jentera PDRM di lapangan membabitkan anggota balai dan elemen kereta peronda (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB) serta rondaan Bit, akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta perbandaran.
“Pengguna jalan raya diminta memainkan peranan sebagai pengguna yang berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan atau memarkir kenderaan sehingga menghalang laluan. Kerjasama orang ramai sepanjang tempoh operasi ini akan memastikan keselesaan buat pengguna jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik,” katanya.
Kenyataan beliau dikeluarkan ini bagi mengulas laporan sebuah akhbar semalam menyatakan tindakan penguatkuasaan semasa cuti Tahun Baharu Cina akan mengganggu perjalanan pengguna jalan raya di musim perayaan.
Bersempena perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut pada 22-23 Januari ini, JSPT sedang melaksanakan Op Selamat 19 di seluruh negara, iaitu sejak 18 Januari lalu dan berlangsung hingga 27 Januari 2023.
[ad_2]
Source link