[ad_1]
Pengedar kenderaan Audi di Malaysia, PHS Automotive Malaysia telah mendedahkan harga terkini Audi Sportback S Line 3.0 TFSI 2022, di mana ia sekarang dijual pada harga RM714,907 tidak termasuk insurans, dan dikira sekali bersama cukai jualan 10%.
Harga ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM126,564 berbanding harga RM588,343 semasa pengecualian SST yang berakhir 30 Jun lalu, di mana model CBU seperti ini diberikan pengecualian SST sebanyak 50%.
Spesifikasi teknikal masih lagi sama seperti model generasi C8 yang dilancarkan pada tahun 2019, dengan A7 Sportback ini dipacu oleh enjin petrol V6 turbo 3.0 liter berkemampuan 340 PS dari 5,200 rpm hingga 6,400 rpm dan tork 500 Nm dari 1,370 rpm hingga 4,500 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada semua empat tayar melalui transmisi automatik klac berkembar S Tronic tujuh kelajuan.
Melihat kepada senarai kelengkapan terkini, A7 Sportback S Line 3.0 TFSI diberitahu datang dengan pakej luaran S Line yang termasuk lampu utama LED HD Matrix dengan penunjuk arah dinamik dan pembersih lampu, bumbung panoramik, serta rim 20 inci warna matte yang dibalut tayar 255/40.
Bahagian dalam juga mendapat kemasan S Line, dengan pemandu boleh menikmati roda stereng sports dibalut kulit serta pedal penukar gear, tempat duduk sports boleh laras secara elektrik 12 arah (juga untuk penumpang hadapan) serta balutan kulit Valcona dengan logo S.
Kelengkapan infotainmen yang diberi adalah termasuk kokpit virtual Audi, sambungan telefon pintar, head-up display dan sistem bunyi Bang & Olufsen 3D. Pada bahagian keselamatan, ia dilengkapi pre sense depan dan belakang, Adaptive Cruise Control, Efficiency Assist, Swerve Assist, Turn Assist, Lane Change Warning, Exit Warning, Rear Cross Traffic Assist, Lane Departure Warning dan pemerhati tekanan angin tayar.
Sama seperti model lain yang dipasarkan oleh PHS Automotive, Audi A7 2022 ini didatangkan bersama jaminan lima tahun tanpa had batuan, bantuan tepi jalan lima tahun serta penyelenggaraan percuma tiga tahun.
GALERI: Audi A7 Sportback C8 2019
[ad_2]
Source link