[ad_1]
Selepas empat tahun diumumkan, Ferrari akhirnya memperkenalkan secara rasmi SUV produksi pertama yang dihasilkan jenama itu, dikenali dengan nama Ferrari Purosangue.
Berukuran 4,973 mm panjang, 2,028 mm lebar dan 1,589 mm tinggi, dengan jarak antara roda 3,018 mm, bentuk umum Purosangue ini berkongsi sebahagian persamaan dengan GTC4Lusso dari beberapa sudut, tetapi dengan kedudukan yang lebih tinggi dan saiz lebih besar. Dari depan, ia menerima mirip rekaan daripada SF90 Stradale; selebihnya adalah sentuhan penggayaan yang unik untuk membezakan SUV ini.
Sebagai contoh, Purosangue tidak mempunyai gril depan, diganti dengan dua bahagian yang mendirikan “wajah”nya, yang dilanjut ke bawah dan menempatkan juga kamera dan sensor parkir. Setiap sudut bonet pula terletak DRL di antara dua pasang bukaan udara yang ada.
Bukaan udara yang di atas digunakan untuk mengalirkan udara ke dalam sistem udara ke bawah bahagian aerobridge depan, sementara bukaan di bawah mengalirkan udara kepada sistem penyejuk brek. Lampu utamanya pula terletak di bawah DRL, di bucu atas bahagian bampar.
Reka bentuk yang ditampilkan ini tentunya bukan sekadar untuk menyedapkan mata memandang, tetapi dilakukan atas sebab aerodinamik. Ini termasuklah menghasilkan sinergi antara bampar depan dengan perincian di lengkuk roda terapung, yang menghasilkan tabir angin yang secara aerodinamik “menutupi” roda depan, mengelakkan aliran udara gelora melintang yang tercetus.
Purosangue menggunakan casis serba baru, yang direka dari awal, dengan matlamat untuk menawarkan platform yang teguh. Bahagian bawah struktur berkenaan diperbuat menggunakan aluminium aloi berkekukuhan tinggi, sementara kerangka badannya diperbuat daripada beberapa material dari aluminium hingga gentian karbon, dengan memanfaatkan logam kukuh di beberapa kawasan.
Gabungan ini menghasilkan sebuah kerangka casis yang terdiri daripada seksyen tertutup yang disambung secara tuangan, di mana di dalamnya turut menyertakan elemen kepingan logam aluminium. Kesannya, casis berkenaan lebih keras (+30% keteguhan torsional dan +25% keteguhan beam), serta lebih ringan berbanding model empat tempat-duduk yang Ferrari pernah hasilkan, walaupun saiznya lebih besar.
Bumbung gentian karbon dengan penebat bunyi unit tunggal juga satu hal yang baru diperkenalkan, dengan kekukuhan yang sama seperti bumbung kaca, tetapi dengan 20% lebih ringan berbanding bumbung aluminium dengan penebat bunyi. Bumbung kaca elektrokromik juga ada ditawarkan sebagai pilihan.
Model ini menerima rekaan rim khusus, menggunakan asas konsep sero yang sama seperti SF90 Stradale — yang membantu mengalirkan udara panas dari dalam lengkung roda. Sebagai standard, model ini menggunakan size roda 22-inci (dengan tayar 255/35) di depan dan saiz 23-inci (dengan 315/30) di belakang. Cermin belakangnya juga tidak datang dengan pengilap; ia akan “dibersihkan” menggunakan aliran udara yang terhasil di bahagian berkenaan.
Capaian ke kabinnya — yang cuba ditampilkan seluas mungkin dengan jarak antar roda yang kompak — dicapai dengan rekaan pintu belakangnya yang tersendiri; ia dibuka ke belakang untuk lebih memudahkan. Dengan kendalian elektrik, ia memberi bukaan seluas 79°, sementara pintu depan hanya melibatkan bukaan 63° — lima darjah lebih luas berbanding model Ferrari yang lain.
Ruang penumpang belakang pula memadai, dengan ruang kepala dan ruang lutut yang boleh menempatkan orang dewasa dengan selesa. Kokpit pemandu pula masih menggunakan ilham daripada SF90 Stradale, dan hampir sama bagi sebelah penumpang, di mana paparan 10.2-inci menyediakan maklumat pemanduan yang diperlukan kepada penumpang untuk merasai sama pengalaman pemanduannya.
Pemandu pula menerima paparan digital sepenuhnya seperti model-model terkini Ferrari. Tombol bulat di konsol tengah untuk memudahkan kawalan berkaitan keselesaan. Kelengkapan standard lainnya adalah termasuk sistem audio Burmester 3D berkualiti tinggi, kerusi depan dengan fungsi urut serta sambungan Android Auto dan Apple CarPlay. Material Alcantra yang digunakan pula menggunakan formulasi baru, dan Purosangue menjadi model pertama di dunia yang menawarkan ini. Ia terdiri daripada 68% polyester kitar semula.
Untuk enjin, Purosangue dipadankan dengan unit V12 petrol NA. Enjin F140IA ini mempunyai kapasiti 6.5 liter yang sama pada model 812 Competizione, tetapi dengan sistem masukan udara, pemasa serta ekzos yang direka semula khusus untuknya. Ferrari menjelaskan, banyak perhatian diberikan menambahbaik mekanikal dan kecekapan pembakarannnya; 80% tork maksimum dicapai dari 2,100 rpm, dengan puncaknya sebanyak 716 Nm pada 6,250 rpm.
Untuk kuasa, enjin ini menghasilkan output maksimum 725 PS (atau 715 hp) pada 7,750 rpm. Ini cukup untuk menggerakkan kenderaan dengan berat 2,033 kg dari kedudukan pegun ke 100 km/j dalam masa 3.3 saat, dan kepada kelajuan 200 km/j dalam 10.6 saat, serta laju maksimum 310 km/j.
Kedudukan enjin adalah di bahagian tengah-depan, dan dipadankan dengan transmisi DCT klac berkembar F1 lapan-kelajuan yang diletakkan di belakang, memberikan agihan berat kereta ini pada nisbah 49:51 — nisbah ini sama dengan yang ada pada SF90 Stradale dan 296 GTB. Sistem 4RM-S yang dibangunkan untuk GTC4Lusso juga telah dikembangkan lagi untuk Purosangue.
Purosangue juga menerima versi terkini sistem kawalan dinamik kenderaan seperti yang ada pada kereta sportnya, termasuklah Side Slip Control yang kini dalam versi 8.0, F1-Trac dan ABS “evo” dengan Chassis Dynamic Sensor (6w-CDS) enam arah. Penampilan sulung dunia pada Purosangue adalah sistem suspensi aktif Ferrari.
Memanfaatkan pengeluar komponen dari Kanada, Multimatic, yang menghasilkan True Active Spool Valve (TASV) System, sistem suspensi ini menggabungkan motor elektrik 48-volt dengan injap penyerap hentak hidraulik ketepatan tinggi dalam satu sistem bersepadu — menjadikannya lebih cekap dan tepat.
Ciri bantuan pemandu pula termasuk kawalan melayar adaptif (ACC), AEB, lampu tinggi automatik (HBA), amaran penukaran lorong (LDW), bantuan mengekalkan lorong (LKA), pengesan titik buta (BSD) dan amaran lintasan trafik belakang (DDA). Purosangue menjadi model Ferrari pertama yang dilengkapi dengan ciri kawalan menuruni curam (HDC).
Empat warna ditawarkan, iaitu perak, putih metalik, hitam dan merah yang dikenali sebagai Nero Purosangue. Untuk harganya, di Itali ia akan dijual pada harga 390,000 euros (RM1.75 million) termasuk VAT. Dengan produksi dijangka bermula tahun ini, serahan pertama bagi pemanduan sebelah kirinya hanya akan bermula pada suku kedua 2023.
[ad_2]
Source link