[ad_1]
Selepas pengenalan Ford Ranger serba baru di sini, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) kini sedang membuat persiapan pula untuk pengenalan Everest generasi ketiga. Pertama kali diperkenalkan kepada dunia pada Mac lalu, SUV berkenaan sudahpun mula dijual di Thailand dan akan menyusul di Malaysia pada 24 September ini.
Menggunakan casis ladder frame yang sama dengan Ranger, Everest terbaru ini berkongsi juga wajah depan yang sama dengan versi trak pikapnya. Persamaan rekaan seperti lampu dengan elemen bentuk C, palang besar di gril antara yang memberikan penampilan ranggi dan lasak SUV ini.
Di belakang, Everest hadir dengan rekaan lampu yang khas untuk SUV ini, dan kabinnya mampu memuatkan tujuh penumpang dengan tiga baris tempat duduk. Model baru ini juga diberi jarak antara roda yang lebih panjang, iaitu 2,900 mm (+50 mm) untuk ruang dalaman yang lebih selesa.
Rekaan papan pemuka hampir sama dengan Ranger, dengan melibatkan perbezaan hanya dari tumpuan yang yang lebih terarah untuk menyediakan ruang yang lebih selesa untuk tiga baris tempat duduk. Seperti Ranger, Everest juga dilengkapi dengan pelbagai teknologi, dengan beberapa kluster instrumen digital dan skrin sentuh infotainmen, bergantung kepada varian.
Begitu juga dengan aspek keselamatan dan bantuan pemandu, dengan antara ciri yang ada termasuk kawalan melayar adaptif, bantuan mengekalkan lorong, AEB dan banyak lagi. Jumlah beg udara kini adalah sembilan, meliputi untuk semua tiga barisan tempat duduk.
Everest ditawarkan dalam tiga pilihan enjin diesel berbeza; Single-Turbo dan Bi-Turbo 2.0 sebaris empat-silinder serta 3.0 liter EcoBoost V6 turbo berkembar. Juga ada sebuah enjin petrol 2.3 liter EcoBoost empat-silinder, walaupun ini hanya akan ditawarkan di beberapa pasaran tertentu sahaja bermula tahun depan. Tidak seperti Ranger, Everest hanya didatangkan dengan transmisi automatik 6R80 enam-kelajuan atau unit 10R80 10-kelajuan SelectShift Ford.
Di Thailand, Everest hanya ditawarkan dengan enjin 2.0 liter turbodiesel, dengan versi turbo tunggal digunakan untuk varian paling bawah (Trend) dan pertengahan (Sport) — kedua-duanya dengan 6AT dan pacuan belakang. Enjin bi-turbo adalah untuk Titanium+, yang ditawarkan dengan pacuan belakang atau empat roda, kedua-duanya dnegan 10AT. Harga di sana bermula dari 1.334 juta baht (RM162,506) hingga 1.854 juta baht (RM225,852).
[ad_2]
Source link