[ad_1]
Crossover berkuasa elektrik sepenuhnya Ford Mustang Mach-E bakal dilancarkan ke pasaran Australia dan negara jirannya, New Zealand, menurut laporan Car Expert.
Model berkenaan disahkan akan mendarat di New Zealand pada awal tahun hadapan. Manakala untuk Australia, Mustang Mach E ini merupakan salah satu dari lima model elektrik penuh yang akan dibawa ke pasaran negara tersebut yang dirancang bermula tahun hadapan hingga 2024.
Kehadiran Mustang Mach-E ini ke dua negara Australasia berkenaan sebelum ini sudah dijangka selepas versi pemanduan sebelah kanan crossover tersebut dilancarkan di United Kingdom tahun lalu.
Ford Australia turut memberitahu Car Expert bahawa Mustang Mach-E lewat untuk diperkenalkan ke negara tersebut bukan kerana kurang permintaan, sebaliknya Ford sendiri kini menghadapi masalah untuk memenuhi tempahan kerana pelbagai masalah bekalan yang kini dihadapi oleh industri automotif secara global.
Ford Mustang Mach-E ini menerima sambutan yang menggalakkan di Amerika Syarikat di mana laporan sebelum ini menyebut bahawa 50,000 unit yang diperuntukkan bagi sepanjang tahun pertama pengenalannya habis dijual hanya dalam masa empat bulan.
Di UK, Mustang Mach-E ditawarkan dalam lima varian; versi pacuan belakang dan pacuan semua roda, ditawarkan dengan dua jenis kapasiti bateri iaitu Standard Range (75.7 kWj) dan Extended Range (98.7 kWj), serta versi paling berkuasa dengan lencana GT menghasilkan 487 PS dan tork 860 Nm yang mampu bergerak sejauh 496 km untuk satu cas penuh berdasarkan kitaran gabungan WLTP.
Model Extended Range AWD menghasilkan kuasa 351 PS dan tork 536 km bersama jarak gerak sejauh 536 km, manakala model Extended RWD pula dibekalkan dengan kuasa 294 PS/430 Nm dan jarak gerak paling jauh antara semua varian iaitu 606 km.
Bagi model Standard Range AWD ia menerima kuasa keseluruhan 269 PS dan tork 580 Nm dengan jarak gerak 397 km, sementara model Standard Range RWD pula dibekalkan dengan kuasa 269 PS/430 Nm dan jarak gerak sejauh 437 km.
Dengan pengenalan Mustang Mach-E dalam versi RHD ini di Australia dan New Zealand, adakah ia petanda bahawa ia akan turut dibawa ke Asia Tenggara termasuk Malaysia? Pasaran kita mungkin tidak sebesar mana, namun Ford Malaysia yang diwakili Sime Darby Auto Connexion sebelum ini sudah pun membawa model-model menarik ke pasaran tempatan seperti Focus ST, Ranger Raptor dan juga Ford Mustang.
Tambahan pula kerajaan kini sedang memberikan insentif pengecualian cukai dan duti untuk model-model EV yang diimport sepenuhnya (CBU), mungkin ini masanya untuk Ford Malaysia turut bersaing dalam segmen tersebut?
[ad_2]
Source link