[ad_1]
Melalui berita yang kami siarkan sebelum ini, anda sudah mengetahui bahawa 1 Ogos ini Husqvarna Malaysia dan KTM Malaysia akan memperkenalkan model baru untuk pasaran Malaysia, dalam satu acara yang akan disiarkan melalui media sosial, dipanggil sebagai “Shift The Paradigm.”
Daripada teaser yang disiarkan, kami menjangka Husqvarna akan memperkenalkan Norden 901, manakala KTM pula membawa 890 Duke R, dan selain daripada itu, nampaknya akan ada satu lagi jenama yang akan menyertai acara dalam talian ini.
Petunjuk sebenarnya sudah diberi, melalui salah satu teaser yang mempunyai pecahan tiga jenis motosikal, dan selepas ditolak dengan Norden dan 890 Duke R, yang tinggal adalah motosikal jenis offroad. Selepas membuat pencarian di laman media sosial, dan melalui khabar yang kami terima dalam industri, ia mungkin adalah GasGas- laman Facebook GasGas Malaysia juga sudah menyiarkan teaser acara yang sama seperti KTM Malaysia dan Husqvarna Malaysia.
GasGas adalah pengeluar motosikal dari Sepanyol yang sudah wujud sejak 1985 dan lebih banyak memberikan fokus kepada pengeluaran motosikal jenis offroad dan enduro. Selepas berhadapan dengan masalah pengurusan dan kewangan, GasGas kemudiannya telah dibeli oleh KTM AG.
Kini, dalam barisan produknya, GasGas menawarkan pelbagai model offroad dan enduro, dengan enjin empat strok dan dua strok, serta kapasiti dari 50 cc hingga 450 cc, dan model lain untuk kegunaan jalan raya biasa seperti ES700 dan SM700, serta elektrik.
Jika benar 1 Ogos ini GasGas akan membuat pengumuman ketibaan mereka dalam pasaran, agak menarik untuk kita lihat apakah model yang akan dibawa masuk dan bagaimanakah perletakan harganya jika dibandingkan dengan model KTM dan Husqvarna di dalam negara kita.
[ad_2]
Source link