[ad_1]
Geely telah pun memperkenalkan satu lagi SUV yang diberi nama Boyue L – walaupun ia dinamakan “Boyue”, ia sebenarnya hampir tiada kaitan dengan Geely Boyue, iaitu asas untuk Proton X70 yang dijual pada pasaran China.
Ini kerana Boyue L diasaskan dari platform Compact Modular Architecture (CMA) yang dibina oleh Geely dan Volvo, yang buat masa sekarang digunakan pada model-model premium seperti Volvo XC40, Polestar 2, Lynk & Co 01 dan 03 serta pelbagai lagi. Dari segi hierarki pula, Boyue L diletakkan antara Boyue dan juga Xingyue L.
Menurut laporan CarNewsChina, Boyue L dihasilkan dengan dimensi panjang 4,670 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,705 mm dan jarak roda sejauh 2,777 mm. Ia dilihat sedikit lebih besar berbanding Boyue/X70 yang menampilkan dimensi panjang 4,519 mm, lebar 1,831 mm dan tinggi 1,694 mm.
Dari segi rekaan juga dilihat Boyue L tidak langsung menunjukkan sebarang kaitan dengan Boyue. Ia menerima rekaan yang jauh lebih futuristik yang bakal digunakan oleh pelbagai model Geely untuk masa hadapan. Pada bahagian muka, lampu hadapan LED dan lampu nyalaan siang LED direka seakan sebahagian dari gril utama yang bersaiz besar, sama seperti konsep rekaan yang diterapkan oleh Hyundai.
Profil sisi Boyue L ini menyerlahkan garis-garis tegak dan bersegi, bersama satu garis sisi unik bermula dari pintu hadapan, dan terus menaik ke belakang bagi dijadikan asas untuk cermin tingkap sisi paling belakang. Lampu belakang juga direka unik dengan rekaan keseluruhan seperti anak panah, bersama bar lampu yang merentangi sepenuhnya pintu hatch belakang.
Untuk unit rangkaian kuasa, Boyue L ditawarkan dalam dua versi enjin pembakaran dalam sepenuhnya, dan dua versi dengan sistem hibrid elektrik. Bagi model petrol penuh, Boyue L datang dengan pilihan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 218 hp/325 Nm dan juga unit lebih kecil 1.5 liter turbo berkuasa 181 hp/290 Nm. Kedua-dua jenis enjin ini dipadankan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.
Manakala bagi model dengan teknologi elektrifikasi, ia ditawarkan dalam versi hibrid dan juga plug-in hybrid (PHEV) dari jenama unit rangkaian kuasa terbaharu Geely iaitu Leishen Power. Kedua-duanya versi ini menggunakan enjin petrol 1.5 liter dengan sistem suntikan bahan api terus serta disuap dengan unit supercharger.
Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear hibrid khas (DHT) tiga-kelajuan, di mana transmisi tersebut turut menerima dua buah motor elektrik bina-dalam.
Untuk kabin pula, Boyue L menerima set instrumen digital sepenuhnya, yang turut terdiri dari panel instrumen untuk pemandu, serta skrin sesentuh sistem infotainmen bersaiz 13.2-inci yang diletakkan secara potret. Sistem berkenaan berfungsi menggunakan sistem operasi Geely Galaxy OS Air, menampilkn cip pemproses Qualcomm 8155 yang mampu menawarkan kemaskini secara over-the-air (OTA).
[ad_2]
Source link