[ad_1]
Yang mahu menempah Proton X50, Persona dan Iriz bermula 1 Julai tempoh hari, tentu ada masalah dengan harga yang belum ditentukan untuk model-model tersebut bukan? Ini kerana ketika itu Proton masih menunggu kelulusan harga baharu dari kerajaan untuk tiga model ini selepas insentif pengecualian cukai jualan (SST) berakhir pada 30 Jun 2022.
Dan sekarang, harga atas jalan lengkap dengan SST untuk X50, Iriz dan Persona sudahpun dimuktamadkan, dan sudah tentu ia lebih tinggi dari sebelum ini. Bagi model asas Proton X50 Standard, ia kini dijual pada harga RM86,300 dengan SST, naik RM7,100 atau 8.96% berbanding harga tanpa SST RM79,200 sebelum ini. Manakala untuk X50 Executive, ia kini naik RM8,500 atau 10.02%, dijual pada harga RM93,300 berbanding RM84,800 sebelum ini.
Harga jualan Proton X50 Premium pula kini sudahpun melepasi RM100k, iaitu RM101,800, naik RM8,600 atau 9.23% berbanding harga ketika ia dilancarkan iaitu RM93,200. Manakala varian tertinggi Proton X50 Flagship pula kini dijual pada harga RM113,300, naik RM10k atau 9.68% dari harga asal RM103,300.
Beralih kepada Proton Persona, varian asas sedan segmen-B ini iaitu Persona Standard kini dijual pada harga RM47,800, naik RM2,000 atau 4.37% berbanding sebelum ini. Manakala varian pertengahan Persona Executive serta varian tertinggi Persona Premium kedua-duanya naik RM2,500, dijual pada harga masing-masing RM53,300 dan RM58,300.
Bagi kembar hatchback Persona iaitu Iriz pula, varian asas Iriz Standard kini dijual pada harga RM42,800, naik RM2,000 atau 4.9% berbanding harga sebelum ini. Model varian pertengahan Iriz Executive nampaknya kini sudah melepasi RM50k, djual pada harga RM50,300, naik RM2,500. Model varian tertinggi Iriz dengan rupa seakan SUV iaitu Iriz Active juga naik RM2,500, kini berharga RM57,300.
Proton X50, serta model kemaskini Persona facelift 2021 dan Iriz facelift 2021, kesemuanya dilancarkan ketika tempoh kerajaan menawarkan pengecualian SST. Jadi kenaikan harga kali ini adalah semata-mata kerana implementasi semula cukai jualan berkenaan yang dikenakan oleh kerajaan, iaitu satu faktor yang tidak boleh dikawal oleh Proton sendiri.
[ad_2]
Source link