[ad_1]
Seperti yang dijanjikan sebelum ini, hari ini secara rasmi model generasi baharu untuk Honda Civic Type R didedahkan untuk peringkat global! Ia telah membuat penampilan sulung di Los Angeles, Amerika Syarikat bagi meraikan bukan sahaja ulangtahun ke-30 Type R, malah untuk menyambut usia Civic yang kini telah mencecah 50-tahun.
Walau bagaimanapun, perincian berkenaan prestasi, angka kuasa mahupun kelengkapan mekanikal bagi Civic Type R 2023 ini masih belum diumum, dan ia akan didedahkan pada musim luruh nanti.
Namun Honda mengesahkan bahawa Type R yang diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback ini masih dijana oleh enjin 2.0 liter turbo – dari gambar yang didedahkan, ia masih menggunakan enjin K20C VTEC Turbo sama seperti Civic Type R FK8 – tetapi menghasilkan kuasa lebih besar dari model sebelum ini, dan disahkan sebagai “Type R paling berkuasa pernah dihasilkan” sejak model pertama yang menerima lencana berkenaan iaitu NSX Type R 30-tahun lalu.
Sebagai perbandingan, enjin 2.0 liter VTEC Turbo pada Civic Type R FK8 sebelum ini sudahpun menghasilkan 320 PS (306 hp) dan tork maksima 400 Nm. Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, yang masih diberikan sistem rev-match, tetapi kali ini dipertingkat bagi memberikan “hubungan lebih intim dan lebih kepuasan kepada pemandu”.
Sama seperti model generasi sebelumnya, Civic Type R generasi baharu ini juga telah ditala di litar “The Green Hell” Nürburgring, dengan prestasi suspensi dan juga stereng yang dipertingkat. “Badan baru yang ringan dan sangat tegar membantu kestabilan ketika kelajuan tinggi dan memberikan respon yang sangat tajam,” dakwa Honda dalam kenyataan yang dikeluarkan.
April lalu, Honda Civic Type R 2023 ini dalam bentuk prototaip sudahpun memecahkan rekod lap kereta pacuan roda hadapan terpantas di Litar Suzuka dengan catatan masa 2 minit 23.120 saat. Masa yang dicatatkan ini cukup untuk memecahkan rekod yang dibuat oleh versi paling hardcore dan paling ringan untuk FK8 iaitu Type R Limited Edition yang mencatatkan masa 2 minit 23.993 saat – hampir satu saat lebih perlahan – pada tahun 2020.
Dengan kuasa yang lebih besar serta perincian mekanikal dan aerodinamik yang lebih baik, tidak mustahil Civic Type R 2023 ini sudah bersedia untuk merebut semula takhta gelaran kereta produksi pacuan hadapan paling pantas di litar Nürburgring yang telah dirampas oleh Renault Megane RS Trophy-R tiga tahun lalu. Malah dengan catatan rekod yang dibuat di Suzuka, Type R generasi baharu ini sebenarnya telah meleburkan rekod Megane RS Trophy di litar yang sama dengan kelebihan dua saat lebih pantas.
Model generasi baharu ini dihasilkan dengan dimensi yang lebih panjang, lebih rendah dan lebih lebar, serta disifatkan Honda sebagai “Type R paling cantik pernah dibina”. Ia diberikan fender yang lebih gemuk bagi menjadikan ia lebih lebar dari Civic hatchback standard, serta bampar hadapan yang lebih agresif menampilkan liang pengambilan udara lebih besar dengan gril atas dan bawah diberikan elemen sarang lebah.
Berbanding FK8 yang menampilkan liang udara bonet yang direka sebagai skup udara, liang pada bonet model 2023 ini nampaknya berada di kedudukan lebih hadapan, dan ia tenggelam seakan untuk mengalirkan udara panas dari ruang enjin keluar. Juga terdapat liang aliran udara di belakang ruang roda hadapan, dengan skirt sisi seakan direka sebagai splitter udara.
Manakala di belakang, ia menerima diffuser yang lebih besar dari sebelum ini. Tiga tip ekzos masih kekal menjadi identiti Civic Type R, tetapi ia nampak berbeza kerana tip yang paling besar berada di tengah, berbanding FK8 yang menampilkan tip paling kecil di tengah. Spoiler belakang bersaiz besar juga dilengkapkan pada Type R baharu ini, tetapi ia kini direka ala GT-Wing.
Kesemua fender yang lebar pada Civic Type R ini melindungi set roda dengan rim kemasan hitam dan tayar yang lebar dan besar, bersama angkup brek berwarna merah yang juga lebih besar dari biasa. Honda masih belum mengumumkan saiz roda dan spesifkasi brek tersebut, namun ia mungkin sama dengan FK8 menampilkan rim 20-inci dengan tayar bersaiz 245/30R20, dan juga sistem brek dari Brembo.
Unit “hero” untuk Civic Type R ini masih menerima warna tradisi Championship White, dan ia turut ditawarkan dengan warna badan lain termasuk Rallye Red, Boost Blue, Crystal Black Pearl dan Sonic Grey Pearl.
Kabin model generasi baharu ini masih mengekalkan tradisi sebuah Type R. Jadi papan pemuka Civic generasi ke-11 dengan liang penghembus udara merentangi sepenuhnya bersama gril sarang lebih masih dikekalkan, dan ia menerima tombol gear aluminium, serta perincian-perincian merah ikonik Type R seperti tempat duduk bucket, karpet kaki, logo pada roda stereng, dan pelbagai perapi lain.
Menurut Honda, tempat duduk bucket untuk Civic Type R generasi baharu ini menggunakan upholsteri seakan sued yang mempunyai pekali geseran yang tinggi, yang mampu mengurangkan pergerakan badan pemandu dalam keadaan menahan daya-G yang tinggi. Tag nombor siri unik tidak lagi diberikan pada konsol tuil gear, sebaliknya dialihkan pada papan pemuka sebelah penumpang.
Model baharu ini turut menerima paparan instrumen dengan tema merah, serta direkaan meter ekslusif +R yang membolehkan pemandu menerima maklumat lebih pantas, menerusi paparan grafik rpm enjin, lampu amaran untuk menukar gear, serta penunjuk posisi gear yang diletak pada sebelah atas. Manakala di sebelah bawah, ia diberikan paparan pelbagai informasi yang memberikan maklumat berkenaan lain yang dipilih pemandu.
Civic Type R 2023 ini juga diberikan sistem data logger Honda LogR, yang memberikan informasi masa-sebenar berkenaan pergerakan mekanikal dan juga sifat kenderaan tersebut yang disebabkan input yang diberikan pemandu. Ia juga diberikan jam randik bagi merekodkan masa lap setiap lap di litar lumba, serta kemampuan untuk berkongsi video pemanduan.
[ad_2]
Source link