[ad_1]
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Honda Civic Type R terakhir yang diproduksi di Jepun adalah model FD2R – mula diproduksi pada 2007 dan tamat pada 2011. Bagi model selepas itu iaitu FK2, produksi Civic Type R hanya di buat di kilang Honda Swindon di United Kingdom, meneruskan legasi tiga model Type R UK sebelumnya iaitu Honda Accord Type R CH1 (1999), Civic Type R EP3 (2001) dan Civic Type R FN2 (2007).
Namun dengan langkah penstrukturan semula jaringan pembuatan global Honda yang akan menumpukan kepada teknologi elektrik, kilang Honda di Swindon berkenaan terpaksa ditutup tahun lalu, dan unit terakhir Civic Type R FK8 yang keluar dari kilang berkenaan pada penghujung Julai 2021.
Pagi tadi, Honda Civic Type R generasi baharu yang diasaskan dari Civic Hatchback generasi ke-11 sudah pun didedahkan secara rasmi untuk peringkat global. Persoalannya, di mana Civic Type R 2023 ini akan diproduksi selepas kilang Honda Swindon di tutup? Honda tidak menyentuh berkenaan perkara tersebut dalam kenyataan media yang dikeluarkan, namun influencer Honda dari Amerika Syarikat, Jason Richmond atau lebih dikenali sebagai HondaPro Jason mendakwa bahawa Civic Type R baharu dengan kod FL5 ini kembali diproduksi di Jepun!
Jason menghadiri majlis pendedahan Civic Type R 2023 itu di Los Angeles dan perkara ini disahkannya apabila melihat nombor identifikasi kenderaan (VIN). Nombor VIN pada unit yang dipamerkan tersebut bermula dengan abjad ‘JHM’, menunjukkan kilang produksinya berada di Jepun. Manakala abjad ‘X’ yang berada di kedudukan ke-11 nombor berkenaan secara spesifik memberitahu bahawa kereta tersebut dibuat oleh kilang Honda Yorii yang berada di Saitama.
Walau bagaimanapun, kilang berkenaan bukanlah kilang yang sama menghasilkan Civic Type R EK9 dan dan Civic Type R FD2 sebelum ini kerana kedua-dua model berkenaan dihasilkan di kilang Mie Honda yang terletak di Suzuka. Kilang Yorii yang menghasilkan Civic Type R FL5 ini merupakan kilang utama Honda buat masa sekarang, dibuka secara rasmi pada Julai 2013.
Honda Civic Type R 2023 ini masih menyajikan ‘resipi klasik’ gandingan enjin 2.0 liter VTEC Turbo dengan kotak gear enam kelajuan manual dan hanya memacu roda hadapan. Honda masih belum mengumumkan sebarang angka kuasa bagi unit rangkaian kuasa model baharu berkenaan, namun telah mengesahkan bahawa ia adalah model Type R yang paling berkuasa pernah dihasilkan. Jadi ia sudah tentu menghasilkan kuasa yang lebih besar dari 320 PS/400 Nm pada model FK8 sebelumnya.
Berbanding model sebelum ini, FL5 tampil dengan rupa lebih ringkas tanpa liang-liang udara palsu. Menurut Honda, model generasi baharu ini dihasilkan dengan dimensi yang lebih panjang, lebih rendah dan lebih lebar, serta disifatkan Honda sebagai “Type R paling cantik pernah dibina”. Ia diberikan fender yang lebih gemuk bagi menjadikan ia lebih lebar dari Civic hatchback standard, serta bampar hadapan yang lebih agresif menampilkan liang pengambilan udara lebih besar dengan gril atas dan bawah diberikan elemen sarang lebah.
Berbanding FK8 yang menampilkan liang udara bonet yang direka sebagai skup udara, liang pada bonet model 2023 ini nampaknya berada di kedudukan lebih hadapan, dan ia tenggelam seakan untuk mengalirkan udara panas dari ruang enjin keluar. Juga terdapat liang aliran udara di belakang ruang roda hadapan, dengan skirt sisi seakan direka sebagai splitter udara.
Manakala di belakang, ia menerima diffuser yang lebih besar dari sebelum ini. Tiga tip ekzos masih kekal menjadi identiti Civic Type R, tetapi ia nampak berbeza kerana tip yang paling besar berada di tengah, berbanding FK8 yang menampilkan tip paling kecil di tengah. Spoiler belakang bersaiz besar juga dilengkapkan pada Type R baharu ini, tetapi ia kini direka ala GT-Wing.
Kesemua fender yang lebar pada Civic Type R ini melindungi set roda dengan rim kemasan hitam dan tayar yang lebar dan besar, bersama angkup brek berwarna merah yang juga lebih besar dari biasa. Honda masih belum mengumumkan saiz roda dan spesifkasi brek tersebut, namun ia mungkin sama dengan FK8 menampilkan rim 20-inci dengan tayar bersaiz 245/30R20, dan juga sistem brek dari Brembo.
Honda menyatakan bahawa harga dan juga perincian selanjutnya berkenaan Civic Type R 2023 ini hanya akan diumumkan pada musim luruh nanti. Sementara itu, perincian lain berkenaan kereta ini boleh anda baca dalam laporan kami sebelum ini pada PAUTAN INI.
[ad_2]
Source link