[ad_1]
Di Indonesia, ada imej model SUV kompak Honda yang baru telah mula muncul, dan dihebahkan oleh Autonetmagz. Kita tahu bahawa Honda memang ada rancangan untuk mengeluarkan SUV kecil untuk bersaing dengan model seperti Perodua Ativa, Daihatsu Rocky dan Toyota Raize. Ia juga akan menjadi SUV pemula dalam barisan penawaran jenama itu, di bawah kedudukan HR-V yang lebih besar dan mahal — HR-V adalah SUV segmen B.
Di India misalnya, ada WR-V, tetapi itu hanyalah Jazz yang diberikan penggayaan SUV, bayangkan Perodua Axia Style. Mungkin, nama WR-V ini akan digunakan kelak untuk model baru tersebut? Ada satu lagi nama yang lebih kurang sama, iaitu “ZR-V”, yang digunakan untuk versi global bagi HR-V.
Kita juga tahu rancangan Honda dengan menunjukkan SUV RS Concept di Indonesia tahun lalu ada preview kepada model berkenaan. Unit yang dipertontonkan itu kelihatan sangat menarik, tetapi gambar yang bocor ini — seandainya merupakan versi produksi model konsep itu — menunjukkan rekaan yang lebih “selamat”.
Bahagian gril SUV RS berkenaan telah digantikan dengan rekaan yang lebih biasa, dengan mirip RS yang dikenakan kepada HR-V RS. Ada palang krom di atas gril, tetapi kereta yang kelihatan ini mempunyai lampu utama yang lebih besar, seperti yang selalu boleh dijangkakan.
Ada juga lampu kabus pada kereta sebenar itu, membuatkan bahagian bawah wajah depannya itu tidak terlalu minimalis. Juga ada skid plate warna perak juga kelihatan. “Hidung” kereta ini juga nampak lebih tegak. Kesimpulanya, wajahnya nampak biasa-biasa saja, tidak terlalu agresif perubahannya.
Bahagian belakang pula jauh berbeza daripada rekaan konsep sebelum ini, baik bentuknya mahupun perincian yang ada. Kereta konsep berkenaan menampilkan cermin belakang yang curam dengan lampu LED kelebaran penuh, sama seperti HR-V baru. Namun kereta produksi ini pula menampilkan rekaan belakang dengan sudut yang biasa, begitu juga dengan kluster lampunya.
Perincian lain yang dapat dilihat misalnya saiz spoiler yang sepadan, lampu belakang dengan gaya 3D dan kemasan warna perak pada kawasan diffuser untuk menyerupai bahagian depannya. Juga, perincian L terbalik untuk lampu LED, sama seperti Civic FE.
Jadi, Honda akan ada SUV kompak untuk lawan Rocky dan Raize di Indonesia? Kita tunggu dan perhatikan perkembangannya selepas ini. Adakah model sama akan tiba di Malaysia? Tiada yang mustahil, walaupun itu bukanlah pilihan yang baik untuk Honda di sini, kerana persaingan sedia ada dalam segmen berkenaan sudah terlalu sengit — sukar untuk menawarkan harga dan spesifikasi yang lebih menarik berbanding model dari jenama tempatan di sini.
[ad_2]
Source link