[ad_1]
Melalui teaser-teaser yang dikeluarkan, ramai sudah tahu bahawa Honda sedang membangunkan Hornet baru. Pendedahan rasminya masih belum diberitahu bila akan berlaku, tetapi untuk enjinnya, ia akan dibawa ke pameran EICMA November ini di Milan, Itali. Sebelum itu, beberapa gambar dan perinciannya didedahkan terlebih dahulu.
Sedang ramai yang menjangkakan Hornet baru ini akan menggunakan enjin 750 cc sama seperti X-ADV ataupun Forza, Honda nampaknya mempunyai sesuatu yang lebih istimewa apabila memperkenalkan enjin baru yang dikatakan mempunyai banyak tork pada tahap rpm pertengahan, serta kuasa mengujakan di rpm tinggi.
Masih meggunakan tetapan dua silinder selari, enjin baru ini mempunyai kapasiti 755 cc, bersama lapan injap dan dipanggil sebagai Unicam. Kuasa maksimum yang mampu dihasilkan adalah 92 hp pada 9,500 rpm dan tork 75 Nm pada 7,250 rpm. Jika dibandingkan dengan enjin dua silinder selari 745 cc yang menghasilkan 58 hp/69 Nm, enjin baru ini adalah lebih berkuasa sehingga 34 hp dan 6 Nm.
Enjin ini datang dengan kedudukan crankshaft 270 darjah, serta strok pendek, sekaligus dapat menghasilkan pemasaan pengapian tidak sekata dan penyampaian kuasa seperti enjin v-twin. Menurut timbalan pengarah projek utama Honda, Fuyuki Hosokawa, ia juga sesuai untuk pemanduan dalam bandar dan keluar dari selekoh dengan cepat.
“Bagi kami, Hornet sentiasa menjadi lambang kepada konsep streetfighter dan model baru ini dengan bangganya akan mengikut tradisi itu,” tambah Hosokawa. Kemunculan enjin ini sudah diberitahu akan berlaku di EICMA 2022, tetapi untuk Hornet, kita masih belum pasti sama ada ia juga akan berada di sana ataupun tidak.
[ad_2]
Source link