[ad_1]
PT Hyundai Motors Indonesia (HMID), anak syarikat milik penuh Hyundai Motor Company telah mendedahkan model Stargazer serba-baru, yang kini telah dibuka untuk tempahan di sana. Stargazer merupakan MPV tujuh tempat duduk yang menjadi pesaing terbaru kepada model seperti Mitsubishi Xpander, Honda BR-V, Toyota Avanza/Veloz dan Daihatsu Xenia.
Stargazer mempunyai ukuran 4,460 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,695 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,780 mm. Saiznya lebih kurang sama dengan semua pesaing, tetapi apa yang membezakannya adalah rekaan futuristik yang diberikan.
Mengambil ilham daripada MPV Staria yang lebih besar, Stargazer menampilkan jalur lampu berkelabaran penuh di depan. Di bawahnya, terletak pula lampu utama yang di tengahnya ada gril bersegi yang besar, sebahagian daripada bentuk X bamparnya, dengan bukaan udara trapezoid.
Bahagian tepi juga sarat dengan keunikan visualnya, dengan garis badan yang panjang dari depan hingga belakang — dengan kesan seperti bumbung terapung. Di belakang juga sama, Stargazer menggunakan rekaan lampu dengan kelebaran penuh, memberikan grafik bentuk H dengan sambungan lampu tegak di tepinya. Tidak ketinggalan ada logo Hyundai, serta kemasan hitam dengan tulisan Stargazer.
Di dalam, papan pemuka didominasi dengan paparan luas meliputi sistem infotainmen dengan skrin sentuh lapan-inci, bersama paparan kluster instrumen LCD 4.2-inci (atau 3.5-inci). Sentuhan futuristik juga tetap diteruskan di dalam, misalnya melalui rekaan corong pendingin dengan penyudah warna perak cerah.
Stargazer ditawarkan dengan tujuh tempat-duduk, tetapi ada juga pilihan untuk enam-tempat duduk dengan dia kerusi kapten di barisan tengah. Bagi enjin, MPV ini dilengkapi dengan unit Smartstream G 1.5 liter NA empat-silinder dari model Creta, yang menghasilkan 115 PS dan 144 Nm tork. Ia digandingkan dengan sama ada transmisi manual enam-kelajuan atau IVT Hyundai, dengan kuasa di hantar ke roda depan.
Di Indonesia, Stargazer ditawarkan dalam empat varian, bermula dengan Active yang boleh dipilih dengan kotak gear manual pada harga 243.3 juta rupiah (RM72,203) atau IVT pada harga IDR255.9 juta (RM75,942). Ini diikuti oleh Trend, yang turut ditawarkan dengan kedua-dua transmisi — MT pada harga IDR263.3 juta (RM78,076), IVT pada IDR275.9 juta (RM81,812).
Kemudian ada varian IVT sahaja, termasuk Style dengan harga IDR296.3 juta (RM87,870) dan Prime untuk 307.1 juta rupiah (RM91,073). Versi dengan kerusi kapten akan dijual IDR1 juta (RM296) lebih mahal, dan ini tidak boleh dipilih untuk model paling asas. Hanya Prime boleh dipilih dengar tema dalaman dua-tona warna dengan kos tambahan IDR1.5 juta (RM445).
Dari segi kelengkapan, Active datang standard dengan lampu utama reflektor halogen, kluster instrumen 3.5-inci LCD, skrin sentuh lapan-inci untuk infotainmen, empat pembesar suara, kerusi balutan fabrik, dua beg udara dan rim 15-inci. Trend pula menerima pertambahan telematik Bluelink, sensor parkir serta roda 16-inci.
Style pula turut menerima kelengkapan seperti Trend, seperti lampu utama reflektor LED, kawalan melayar, kluster instrumen lebih besar, larasan stereng tilt dan teleskopik, dua lagi pembesar suara, ESC, bantuan mula mendaki, sistem peninjau tekanan tayar, kamera undur, sistem tanpa kunci dan beberapa lagi.
Prime pula menerima kelengkapan paling penuh, sesuai dengan harganya. Sebagai tambahan, ia menerima kerusi balutan kulit, lampu suasana, empat lagi beg udara, dan paling penting sistem keselamatan aktif. Ini termasuklah AEB, amaran perhatian pemandu, bantuan mengekalkan lorong, bantuan mengikuti lorong, bantuan titik buta dan bantuan penghindaran perlanggaran trafik di belakang.
[ad_2]
Source link