[ad_1]
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah memberi petunjuk kepada varian baru Triton melalui saluran media sosial syarikat itu. Dikenali dengan nama Phantom Plus Edition, penawaran terbaru ini disasarkan untuk mereka yang “inginkan sesuatu yang lebih”.
Apa yang “lebih” dengan penawaran terbaru ini? Ini belum dapat dipastikan, kerana imej iklan yang ditunjukkan itu disamarkan, tanpa kita dapat melihat penampilan Triton berkenaan dan apa perubahan yang telah dilakukan terhadapnya. Sekadar makluman, generasi Triton sebelum ini juga pernah ditawarkan dalam Phantom Edition.
Didedahkan sekali dengan iklan teaser berkenaan adalah pautan ke laman di mana mereka yang mahu boleh mendaftarkan minat mereka. Tiada sebarang perincian tentang Triton Phantom Plus di laman web berkenaan, melainkan ia disifatkan sebagai sebuah trak yang “lain daripada yang lain”.
Ketika ini, varian paling tinggi untuk Triton ialah Athlete, yang dijual pada harga RM146,600 atas jalan tidak termasuk insurans. Ia menggunakan enjin 2.4 liter turbodiesel yang menjana 181 PS pada 3,500 rpm dan 430 Nm tork pada 2,500 rpm. Ini digandingkan bersama transmisi automatik enam-kelajuan dan sistem pacuan empat-roda — dengan pilihan beberapa mod pacuan melalui tombol kawalan Select 4WD-II.
Antara kelengkapan menarik pada Athlete ialah lampu utama projektor bi-LED, DRL LED, rim 18-inci hitam berkilat, sistem tanpa kunci, skrin sentuh untuk infotainmen dengan Android Auto dan Apple CarPlay, pendingin automatik, paddle shifter, kerusi balutan kulit, AEB, peninjau titik buta dan lain-lain. Untuk perincian Phantom Plus Edition, kita tunggu pelancarannya nanti.
[ad_2]
Source link