[ad_1]
Dah lama kita Proton tak buat karnival kan? Berita baik untuk pelanggan mahupun peminat-peminat kereta Proton serta sayap perlumbaan Proton R3, hujung minggu ini akan berlangsung Karnival Proton-MSF Merdeka Race 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang bukan sahaja menyajikan aksi-aksi perlumbaan, malah banyak aktiviti keluarga yang boleh anda sertai.
Acara ini diadakan dengan kerjasama Proton dan juga Malaysia Speed Festival (MSF), iaitu penganjur siri perlumbaan MSF Saga Cup. Ia akan berlangsung dari 27 hingga 28 Ogos ini, bermula 11 pagi hingga 10 malam setiap hari. Sepanjang acara tersebut, Proton akan mengadakan pelbagai aktiviti untuk anda dan seisi keluarga sertai di North Paddock SIC pada hari Sabtu dan Ahad berkenaan.
Selain dari pelbagai promosi istimewa untuk model-model Proton terkini, komponen alat ganti dan pakej pembiayaan, ada juga penilaian untuk kereta terpakai dan juga pemeriksaan percuma untuk kereta-kereta Proton akan dijalankan. Manakala bagi mereka yang gemar mengumpul barangan, pelbagai cenderamata Proton dan juga R3 akan dijual sepanjang acara ini.
Tak lengkap karnival seperti ini jika tidak membabitkan aktiviti pemanduan bukan? Jadi pihak penganjur turut mengadakan aktiviti cabaran pemanduan tepat berasaskan autocross, di mana peserta berpeluang mempamerkan kemahiran pemanduan masing-masing dengan mencatatkan masa terpantas pada litar autocross pendek dan kereta Proton yang disediakan.
Untuk acara ini, keutamaan akan diberikan kepada mereka yang mengikuti akaun Facebook dan Instagram rasmi Proton. Tiga peserta yang mencatatkan masa terpantas untuk setiap hari akan menerima hadiah berupa barangan MSF dan R3.
Anda juga berpeluang untuk memandu kereta Proton di litar Sepang sekiranya anda membuat tempahan kereta Proton baharu ketika acara ini berlangsung, atau membeli barangan R3 bernilai RM200.
Selain itu, acara ‘Taxi Ride’ juga akan dilangsungkan. Menerusi acara ini, anda akan dibawa mengelilingi litar berkenaan dengan kereta lumba R3 oleh salah seorang pelumba pasukan lumba berkenaan dengan kelajuan penuh. Untuk merasai pengalaman ini, anda juga perlu sama ada membuat tempahan kereta Proton baharu atau membeli barangan R3 bernilai RM300.
Ingat lagi aksi-aksi Proton Knight satu ketika dulu yang dipandu dua roda dalam iklan di televisyen? Ketika acara ini juga, pelumba tempatan, Faidzal Alang akan membuat aksi sama dan cuba membuat rekod dengan memandu Proton Saga mengelilingi sepenuhnya litar Sepang dengan hanya menggunakan dua roda. Wakil dari Malaysia Book of Records akan hadir untuk mengesahkan rekod berkenaan.
Selain itu, anda turut berpeluang untuk mendekati pelumba-pelumba R3 dengan kemunculan istimewa yang akan dibuat oleh juara Sepang 1000km (S1K) 2018 dan 2019 Farique Hairuman, juara S1k 2017 James Veerapen, lagenda rali dan juga juara dunia FIA WRC kategori Production 2002 Karamjit Singh, serta pelumba dan drifter wanita Leona Chin.
Kelab-kelab Proton juga akan mengadakan perhimpunan pada acara ini. Pada hari Sabtu, lebih dari 200 kereta dari pelbagai kelab Proton akan berkumpul, manakala pada hari Ahad pula sekitar 300 buah Proton Saga generasi pertama akan turun memberikan sokongan kepada perlumbaan MSF Saga Cup Merdeka Enduro pada sebelah petang.
Proton turut akan mempamerkan teknologi-teknlogi terkini mereka bersama kereta-kereta lumba R3 di Paddock Club, dan sesi bicara teknikal turut akan dibuat oleh pasukan R&D Proton. Anda juga boleh merasai bagaimana sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Proton berfungsi dalam sesi demo yang akan dibuat. Antara sistem tersebut termasuk amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan juga brek kecemasan automatik.
Untuk mereka yang membawa anak-anak, pelbagai permainan akan disediakan ketika acara ini berlangsung. Antaranya taman tema air dan bouncy castle boleh kembung setinggi 25 kaki serta permainan Jenga gergasi. Simulator perlumbaan juga disediakan untuk menguji kemahiran memandu anda secara maya. Pengunjung yang datang turut tidak perlu gusar tentang makanan kerana 10 trak makanan akan ditempatkan untuk memenuhi selera anda.
Berminat dengan semua acara yang bakal dilangsungkan ini? Jadi jangan lepaskan peluang anda untuk ke Karnival Proton-MSF Merdeka Race 2022 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang 27 dan 28 Ogos ini. Namun sebelum itu, anda perlu mengesahkan kehadiran anda dengan mengisi borang pra-pendaftaran secara atas talian menerusi PAUTAN INI.
[ad_2]
Source link