[ad_1]
Selepas tiga tahun diperkenalkan kepada pasaran (tidak masuk ke negara kita), Kawasaki KLX230 kini diberikan peningkatan yang bukan sahaja dapat meningkatkan kepuasan penggunaannya tetapi juga membantu prestasinya sebagai sebuah jentera dual purpose.
Sekali lagi didedahkan kali pertama di Indonesia, KLX230 2022 masih lagi tiba dalam dua versi iaitu Standard dan SE, bagi yang menggunakan rim dual purpose 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dan kemudiannya ditambah dengan satu lagi versi iaitu KLX230 SM (supermoto) yang menggunakan rim 17 inci berserta tayar yang lebih bersesuaian untuk tunggangan atas jalan tar, bersaiz 110/70 di hadapan dan 120/70 di belakang.
Semua versi KLX230 2022 menerima lampu hadapan LED, bagi menggantikan lampu jenis halogen sebelum ini, tetapi satu peningkatan lebih menarik dilakukan pada versi SE dan SM, di mana ia menerima fork upside down 37 mm. Suspensi belakang masih lagi menggunakan monoshock dengan tetapan sambungan Uni-Trak.
Sementara prestasi untuk versi SE dipertingkat, versi Standard pula dijadikan lebih mudah didekati dengan tinggi tempat duduk yang direndahkan menjadi 830 mm. Sebagai perbandingan, versi SE menyediakan tinggi tempat duduk 885 mm manakala SM pula 845 mm. Berat KLX230 ini masing-masing adalah 134 kg untuk Standard dan SE, sementara SM pula mencatat 136 kg.
Selain daripada itu, bahagian lain semua masih sama seperti KLX230 yang diperkenalkan pada tahun 2019, bermula dengan enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api berkapasiti 233 cc, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 19 PS pada 7,600 rpm serta 19.8 Nm tork pada 6,100 rpm. Enjin ini boleh dihidupkan dengan pemula elektrik dan tiada penendang.
Kelengkapan lain yang terdapat pada KLX230 2022 adalah seperti meter digital LCD, tangki bahan api 7.5 liter, serta brek cakera tunggal dengan saiz 300 mm, angkup dua piston di hadapan dan cakera 220 mm berserta angkup dua piston di belakang.
Untuk tempoh pengenalan awalnya di pasaran Indonesia, KLX230 dijual pada harga 47.9 juta Rupiah (RM14,472) untuk versi Standard, dan 52.9 juta Rupiah (RM15,982) untuk versi SE, sementara KLX230 SM pula dijual pada harga 54.7 juta Rupiah (RM16,526).
[ad_2]
Source link