[ad_1]
Bagi membanteras isu lumba haram dan aktiviti mat rempit, Kerajaan bercadang mengemukakan pindaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 pada sesi Dewan Rakyat pada Oktober ini.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin, yang berkata antara cadangan pindaan adalah tindakan terhadap orang ramai yang menjadi penonton lumba haram dan hukuman terhadap bengkel yang mengubah suai motosikal bagi kegunaan kegiatan itu.
“Ada perbincangan pada 8 Ogos lepas dan beberapa cadangan dikemukakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada Kementerian Pengangkutan tentang mengubal undang-undang ini supaya lebih ketat dan ditambah aspek yang perlu diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.
“Hukuman denda atau penjara yang ada pada masa sekarang juga perlu ditingkatkan. Bagaimanapun ini masih dalam perbincangan dan berkemungkinan akan dikemukakan dalam Dewan Rakyat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Senator N Balasubramaniam mengenai pindaan undang-undang untuk membanteras isu lumba haram serta jumlah operasi melibatkan lumba haram.
Mengulas lanjut, Jonathan berkata berdasarkan statistik Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), seramai 1,451 pesalah telah ditangkap dari Januari 2022 hingga Jun lalu. Selain itu, sebanyak 1,258 saman juga dikeluarkan dan 2,200 kenderaan disita untuk siasatan, laporan Bernama.
[ad_2]
Source link