[ad_1]
Masyarakat di Sabah diminta bersabar dengan keadaan jalan yang daif dan banyak kerosakan di negeri itu, terutamanya yang menghubungkan Sandakan dan Telupid, jika mahu terus menggunakan jalan bebas tol. Itulah kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin seperti yang dilaporkan oleh The Vibes.
Beliau berkata sedemikian sebagai maklumbalas terhadap kekecewaan yang diluahkan oleh pengguna jalan raya di Sabah yang terpaksa meredah jalan yang serba daif sepanjang 6.4 km itu. Beliau turut berkata, jalan terbabit tidak akan dibaikpulih memandangkan projek Lebuhraya Pan Borneo dijangka akan siap dalam tempoh dua tahun lagi. Walau bagaimana pun, pengguna jalan raya di negeri terbabit turut memohon untuk dikecualikan bayaran cukai jalan sehingga lebuhraya baharu itu siap sepenuhnya, memandangkan keadaan jalan raya yang rosak teruk.
Keadaan jalan yang semakin rosak teruk sehingga penduduk tempatan menggelarkannya “jalan bulan” merujuk kepada permukaannya yang berlopak-lopak. Difahamkan, peruntukan sebanyak RM256 juta telah diperoleh untuk membaikpulih jalan tersebut, tetapi ia (baikpulihnya) hanya untuk waktu yang singkat kerana jangka hayat jalan itu telah tamat pada tahun 2018, dan ia memerlukan pembinaan semula dari peringkat asas, ujar Bung Moktar.
“Ya, perkara ini menjadi tular (menerusi media sosial). Saya sering dimarahi oleh orang ramai saban hari berhubung dengan keadaan jalan ini. Tetapi saya fikirkan, adalah rugi membelanjakan RM200 juta untuk jalan yang akan kembali rosak. Jadi, saya berharap orang Sabah teruslah bersabar,” katanya.
Dalam masa yang sama, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Sion berkata kerajaan Malaysia tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan pengecualian cukai jalan untuk masyarakat di Sabah kerana kerajaan negeri memperoleh sebanyak RM3 bilion dari aliran pendapatan.
“Saya memahami pemasalahan yang dihadapi oleh masyarakat di Sabah, tetapi ini melibatkan polisi kerajaan pusat. Kami akan berbincang sekali lagi mengenai isu ini dengan kerajaan negeri Sabah dan juga Jabatan Kerja Raya Sabah, (walau bagaimana pun), kami faham, jika Sabah memohonnya (pengecualian cukai jalan), Sarawak juga akan buat perkara yang sama,” ujar Wee. Pada masa ini, hanya OKU sahaja yang diberi pengecualian daripada membayar cukai jalan, kata menteri terbabit.
[ad_2]
Source link