[ad_1]
Selepas pendedahan dibuat oleh salah sebuah pengedar semalam, hari ini secara rasminya Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mengumumkan bahawa sedan C-Class W206 telah pun diperkenalkan dalam versi pemasangan tempatan. Model yang dipasang di Pekan, Pahang ini diperkenalkan hanya sekitar enam bulan W206 dilancarkan di Malaysia dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) pada Februari lalu.
Model CKD ini masih ditawarkan dalam dua varian, bermula varian asas C200 Avantgarde yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM287,888, diikuti varian tertinggi C300 AMG Line berharga RM327,888. Pembelian model-model CKD ini masih disertakan dengan waranti pengeluar selama empat tahun tanpa had perbatuan.
Oleh itu berbanding model CBU sebelum ini, Mercedes-Benz C200 Avantgarde dan C300 AMG Line dalam versi CKD ini adalah masing-masing RM12,000 dan RM17,000 lebih murah. Malah harga untuk model CBU sebelum ini turut telah pun menerima pengecualian cukai SST sebanyak 50%, berbanding model CKD ini yang dikenakan sepenuhnya cukai berkenaan.
“C-Class merupakan model paling laris kami sehingga kini. Sejak ia diperkenalkan sebagai 190, lebih 10.5 juta Mercedes-Benz C-Class telah terjual secara global dan kami yakin dengan C-Class baharu yang telah dilokalisasi ini akan diterima baik oleh pelanggan,” kata CEO dan presiden MBM, Sagree Sardien.
“Sebagai sebahagian komitmen berterusan kami terhadap pasaran tempatan dalam sektor automotif mewah, C-Class yang membuat kemunculan pada awal tahun ini, sekarang dengan bangganya telah dipasang di fasiliti produksi kami di Pekan dan akan terus memenuhi kehendak individu pelanggan kami yang dihargai. Kami teruja dan yakin untuk menyambung kisah kejayaan model paling laris kami di Malaysia ini,” tambahnya lagi.
Walaupun menampilkan harga yang jauh lebih rendah, model-model CKD ini masih menerima perincian yang sama seperti model CBU, malah diberikan sedikit peningkatan.
Bagi model C200, ia masih dijana oleh enjin petrol M254 1.5 liter turbo 204 PS (201 hp) bermula 5,800 hingga 6,100 rpm serta tork maksima 300 Nm bermula 1,800 hingga 4,000 rpm. Model C300 juga masih menerima enjin petrol M254 2.0 liter turbo berkuasa 258 PS (255 hp) pada takat 5,800 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,000 hingga 3,200 rpm.
Kedua-dua model ini turut menerima unit integrated starter generator (ISG) bagi memberikan tujahan boost sementara 20 PS (20 hp atau 15 kW) dan tork 200 Nm. Kedua-duanya juga menerima kotak gear automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan bagi memacu roda belakang.
Dua kelengkapan yang tiada pada model CBU sebelumnya telah ditambah pada model CKD ini. Ia termasuk sistem akses tanpa sentuhan tangan untuk but belakang, serta sistem bantuan pemanduan keselamatan Pre Safe.
Model C200 CKD ini terus menerima pakej penggayaan Avantgarde, rim aloi 18-inci lima jejari, suspensi Agility Control dengan kadar serap hentakan yang boleh dipilih, Dynamic Select, lampu hadapan LED High Performance, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan fungsi memori, pengecas telefon pintar tanpa wayar, Keyless-Go, kulit buatan Artico, sistem pendingin hawa Thermatic dan juga sistem lampu suasana kabin.
Pemandu diberikan kluster instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, manakala untuk infotainmen ia diberikan skrin sesentuh bersaiz 11.9-inci. Kedua-dua skrin ini dioperasikan oleh sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang turut berintegrasi dengan modul LTE untuk servis terhubung Mercedes Me, serta fungsi Android Auto dan Apple CarPlay.
Bagi sistem keselamatan pula, C200 diberikan Bantuan Titik Buta Aktif, pakej Lane Tracking, Bantuan Kekal Lorong Aktif, Bantuan Brek Aktif, pakej Parking dengan kamera undur dan Bantuan Parkir Aktif dengan Parktronic. Ia juga diberikan sistem cruise control namun hanya dari jenis pasif.
Mercedes-Benz C300 pula menerima perincian yang sama seperti C200, tetapi menerima tingkat taraf seperti kit penggayaan AMG, rim aloi AMG 19-inci, tempat duduk sport (C200 hanya diberikan tempat duduk comfort), karpet kaki AMG, roda stereng balutan Nappa (hanya kulit biasa untuk C200) dan juga kamera 360-darjah.
GALERI: Mercedes-Benz C 200 Avantgarde W206 CBU
GALERI: Mercedes-Benz C 300 AMG Line W206 CBU
[ad_2]
Source link