[ad_1]
Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah pun melancarkan model elektrik penuh EQS dengan menawarkan varian tunggal EQS450+ untuk pasaran tempatan. Sedan elektrik sepenuhnya ini pertama kali diperkenalkan di persada dunia pada April 2021 dan telah membuka pendaftaran minat untuk pasaran Malaysia sejak Mac lalu. EQS merupakan model pertama yang dibangunkan dengan platform Electric Vehicle Architecture (EVA) platform, yang turut digunakan untuk SUV EQS, EQE dan SUV EQE.
Bagi varian EQS 450+, ia diberikan bateri lithium-ion 396 voltan dengan kapasiti tenaga 107.8 kW yang mampu memberikan jarak antara 631 km hingga 782 km bagi pengecasan penuh mengikut kitaran-WLTP, dan turut digandingkan dengan motor-tunggal pacuan roda-belakang (RWD) dan transmisi automatik kelajuan-tunggal. Gandingan ini memberikannya kuasa keseluruhan mencecah 245 kW (333 hp) dan tork 565 Nm, membolehkannya dipacu dari 0-100 km/j dalam 6.2 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum hingga 210 km/j.
Bagi sistem pengecasannya, EQS 450+ boleh menggunakan pengecas AC (sambungan Type 2) berkapasiti 11 kW dengan status pengecasan (SOC) 10%-100% mengambil masa selama 10 jam. Selain itu, ia juga menyokong pengecas pantas DC (sambungan CCS2) dengan kapasiti 200 kW yang hanya mengambil masa sekitar 31 minit untuk mencapai SOC 10%-80%.
Diimport dari Jerman, sedan elektrik penuh ini berukuran 5,216 mm panjang, 1,926 mm lebar, 1,512 mm tinggi dan jarak rodanya 3,210 mm, kecil sedikit berbanding model semasa S-Class. Ia ditampilkan dengan stereng gandar-belakang untuk pergerakan yang lebih mudah, pakej AIRMATIC dan suspensi dengan sistem peredam adaptif. Dan sebagai kenderaan pintar, barisan EQS diberikan 350 penderia yang setiap satunya memiliki fungsi sendiri termasuk merekodkan jarak, kelajuan dan pendikitan, keadaan pencahayaan, dan banyak lagi. Ia hasil kendalian bersama sistem kecerdasan bantuan (A.I).
Untuk imej luarannya pula, EQS 450+ kelihatan cukup sporty dengan gaya ala coupe dan dilengkapi dengan penggayaan AMG Line. Ini termasuklah gril yang tertutup sepenuhnya yang menggunakan warna hitam berkilat dengan paten Mercedes-Benz, serta jalur lampu yang bersambung dari kiri ke kanan.
Ia juga dilengkapi dengan pakej Digital Light yang terdiri daripada Digital Lighting dan juga Adaptive Highbeam Assist Plus. Selain itu, ia juga ditampilkan dengan roda aloi-ringan pelbagai-jejari AMG 21-inci dan bumbung suria gelangsar panoramik.
Menjengah bahagian kabinnya, rekaan serba mewah dan futuristik dipertaruhkan dengan elemen Electric Art. Papan pemuka EQS diberikan corong penghawa dingin tengah yang nipis dan nampak seakan bersambung terus dengan kemasan pada pintu. Ia juga hadir dengan dengan rekaan seperti turbin dan skrin hiburan 11.6-inci untuk penumpang belakang. Dengan gandingan penggunaan material-material premium dan juga lampu suasana, kabin EQS ini benar-benar nampak futuristik.
Dari segi visual, tumpuan utama sudah tentulah Hyperscreen MBUX yang merentangi keseluruhan papan pemuka sedan ini dan ia menampilkan pengimbas cap jari, sistem multimedia MBUX dan paparan penumpang hadapan OLED. Sebagai salah satu daya tarikan utama EQS 450+, Hyperscreen MBUX ini turut hadir dengan gabungan tiga skrin di bawah kaca aluminium silikat tahan calar berukuran 141 cm. Tiga skrin tersebut termasuk skrin 12.3-inci untuk paparan instrumen pemandu, 17.7-inci untuk skrin tengah dan juga satu lagi skrin 12.3-inci untuk penumpang hadapan.
Panel OLED digunakan untuk skrin tengah dan juga penumpang hadapan, dan ia turut memberikan tindak balas haptik yang dihasilkan menerusi actuator. Fungsi ini membantu untuk memberikan rasa seakan menggunakan suis atau butang mekanikal biasa ketika pengguna berinteraksi dengan skrin sesentuh tersebut.
Bagi sistem MBUX, ia berfungsi dengan sistem kecerdasan bantuan (A.I) yang terkini membolehkan pembantu digital “Hey, Mercedes” mengenal lebih banyak arahan lisan serta diberikan pendekatan “zero-layer”, di mana fungsi yang selalu digunakan akan sentiasa dipaparkan pada skrin Home, dan pengguna tidak perlu mencari semula fungsi berkenaan atau menggunakan arahan suara.
Ciri lain yang diberikan untuk EQS 450+ termasuklah roof liner dengan material fabrik hitam, roda stereng Multifuntion balutan kulit Nappa dan pedal penukar gear dalam rona krom perak. Untuk keselesaan yang lebih jitu, EQS 450+ turut diberikan Comfort Seat, dengan upholstery balutan kulit Nappa, dengan tempat duduk hadapan larasan kuasa bersama fungsi memori.
Bukan itu sahaja, konsol tengahnya pula ditampilkan dengan kemasan kayuan struktur garisan Anthracite. Selain itu, ia juga diberikan pakej KEYLESS-GO Comfort yang turut merangkumi akses bebas-tangan, tablet MBUX untuk tempat duduk belakang, sistem pengecasan tanpa wayar untuk telefon pintar, USB Package Plus, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, kawalan suhu automatik THRMOTRONIC, sistem bunyi Burmester® 3D dan juga EASY-PACK tailgate.
Untuk aspek keselamatannya pula, EQS 450+ diberikan Driving Assistance Plus Package yang merangkumi Active Distance Assist DISTRONIC, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, sokongan pergerakan Evasive, PRE-SAFE® impulse side , kamera 360°, Bantuan Parkir Aktif, sistem pemantauan tekanan tayar TIREFIT dan penderia belakang untuk bantuan ketibaan lorong.
Diproduksi di Factory 56, Jerman, yang merupakan kilang pemasangan Mercedes-Benz C02-neutral, EQS 450+ ditawarkan pada harga atas jalan bermula RM698,888 dengan cukai SST dan tanpa insurans. Ia juga didatangkan dengan waranti empat-tahun, perbatuan tanpa had secara standard dan bateri EV pula diberikan waranti lapan-tahun atau 160,000 km, mana yang tiba terlebih dahulu.
[ad_2]
Source link