[ad_1]
Jika anda mencari-cari van penumpang elektrik penuh dengan kapasiti tujuh-tempat duduk, Mercedes-Benz EQV memang sesuai dijadikan pilihan. Kini ia telah pun dibawa masuk ke pasaran Malaysia menerusi pengimport tempatan Weststar Motors. Ditawarkan dengan penggayaan Sport Premium dan penjana kuasa EQV300, ia berharga RM485,000.
Diasaskan dari model facelift V-Class W447 dan pertama kali didedahkan pada Ogos 2019, EQV300 ini menampilkan bateri lithium-ion 100 kWh (boleh guna 90 kWh), yang memberikan jarak EV 340 km dengan pengecasan tunggal.
EQV ini turut didatangkan dengan pengecas on-board AC (smabungan Type 2) yang berkeupaya menyalurkan 11 kW, dengan pengecasan penuh boleh dicapai di bawah 10 jam. Ia juga menyokong pengecasan pantas DC (sambungan CCS2) sehingga 110 kW, dan bateri boleh mencapai status pengecasan 10-80% sekitar 45 minit. Dengan menggunakan pengecas DC selama 15 minit, ia juga boleh memberi jarak pacuan sehingga 100 km.
Motor elektrik yang ditempatkan di hadapan mampu memberikan kuasa pada 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 362 Nm, membolehkan ia dipacu dengan kelajuan maksima 160 km/j. Bateri yang ditempatkan di bawah lantai kenderaan sekaligus tidak menjejaskan ruang dalam MPV ini.
Selain itu, EQV300 diberikan bentangan tempat duduk 2-2-3, dengan barisan kedua menempatkan dua kerusi kapten, yang turut disertakan dengan konsol tengah gelangsar bersama meja. Akses masuk dan keluar menerusi pintu gelangsar kuasa yang terdapat pada kedua-dua belah sisi kenderaan. Manakala bangku pada barisan ketiga boleh diubah kedudukan ke hadapan dan belakang.
Secara visualnya, EQV dibezakan dari V-Class biasa dengan penampilkan gril radiator panel hitam, lencana spesifik model dan luaran perak teknologi tinggi. Model yang dipaparkan menerusi foto ini diberikan kemasan Brilliant Silver dengan roda aloi-ringan lima-jejari-berkembar 17-inci.
Bagi ciri kelengkapannya, ia didatangkan dengan upholstery kulit hitam Lugano, kemasan kayuan dengan efek pinstripe, ambang pintu iluminasi, rel bumbung anodised, tempat duduk hadapan dengan larasan kuasa, kawalan suhu dwi-zon Thermotronic (dengan ciri pre-entry), pendingin hawa belakang Tempmatic (dengan coronng siling), lampu utama LED Intelligent Light System, sistem pencahayaan ambien, sistem infotainmen MBUX (Mercedes-Benz User Experience) skrin sesentuh 10.25-inci, dan paparan kluster instrumen pelbagai-info.
Untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan, ciri yang diberikan termasuklah Active Distance Assist Distronic (kawalan kelajuan adaptif), Pakej Parkir dengan kamera 360-darjah, Bantuan Titik Buta, Bantuan Isyarat Trafik, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Perhatian, dan Highbeam Assist Plus.
[ad_2]
Source link