[ad_1]
Selepas model facelift untuk Xpander biasa diperkenalkan pada lewat tahun lalu, kini giliran versi lebih lasak Xpander Cross pula muncul dalam versi facelift. Model ini didedahkan ketika Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022, dan galeri yang kami hidangkan di bawah adalah ihsan dari portal automotif Indonesia, Autonetmagz.
Mitsubishi Xpander Cross facelift ini menerima banyak perincian dari Xpander facelift biasa. Paling ketara pada bahagian muka adalah pada lampu hadapan utama LED utama dengan tiga projektor pada bampar yang kini menggunakan rekaan berbentuk tukul. Lampu nyalaan siang LED yang diletakkan di atas masih kekal dengan bentuk tirus, tetapi dilihat diberikan grafik baharu serta bersaiz lebih panjang.
Model Cross facelift ini masih diberikan kemasan bawah bampar seakan bullbar bersama skid plate di bawah, namun rekaannya menerima perubahan, terutamanya pada lampu kabus yang sebelum ini berbentuk bulat tetapi kini segi empat dan diletakkan lebih ke hujung sisi. Gril Cross facelift ini juga masih kekal berbeza dari versi biasa yang nampak lebih lasak dengan rekaan seiras trak pikap Triton.
Di belakang, kluster lampu utama masih nampak sama tetapi grafik LED di dalamnya direka dengan bentuk tukul seiras dengan lampu hadapan. Perumah lampu pada pintu tailgate telah dipanjangkan, dan kini tiada lagi kemasan berwarna hitam merentangi kawasan tersebut. Elemen berbentuk-X pada bahagian belakang Xpander Cross facelift ini juga sudah kurang menonjol kerana garis yang menghubungkan perumah nombor plat dan bampar kini lebih tegak melintang bebanding serong sebelum ini.
Manakala pada bampar belakang, rekaan skid plate kini nampak lebih lasak dan menonjol dengan reflektor yang sebelum ini diletakkan menegak kini direka melintang dan lebih tebal, bersama kemasan berbentuk segi empat pada bahagian tengah juga direka lebih tebal. Secara keseluruhan, kit badan baharu ini membuatkan Xpander Cross facelift ini 40 mm lebih lebar kepada 1,790 mm.
Walau bagaimanapun, bahagian pelindung badan pada bawah pintu kini menerima rekaan yang lebih ringkas. Rim masih kekal berdiameter 17-inci bersama tayar 205/55R17 tetapi turut menerima rekaan baharu. Xpander Cross facelift ini juga masih dihasilkan dengan jarak kelegaan tanah 220 mm untuk varian dengan kotak gear CVT dan 225 mm untuk varian transmisi manual.
Kabin Xpander Cross facelift 2022 ini turut menerima rekaan baharu pada papan pemuka sama seperti Xpander facelift, dan seperti sebelum ini kedua-duanya dibezakan dengan tema warna. Bagi model Cross ia menerima warna dalam keseluruhan hitam dengan kemasan Navy Blue dan perapi-perapi perak. Model Cross ini juga menerima roda stereng yang sama dengan Triton, berbeza dari roda stereng yang diberikan pada model biasa.
Model kemaskini ini juga diberikan skrin infotainmen bersaiz sembilan-inci dengan rekaan baharu yang nampak seperti terapung, manakala panel kawalan pendingin hawa menggunakan suis putar sebelum ini digantikan dengan panel baharu yang menampilkan paparan LCD. Bagi varian dengan kotak gear auto, ia tidak lagi datang dengan tuil brek tangan manual, digantikan dengan brek parkir elektronik dengan fungsi auto hold, yang menampilkan rekaan lebih ringkas.
Xpander Cross juga kini menerima tray pengecas telefon tanpa wayar Qi yang diletakkan di ruang storan paling bawah pada konsol tengah. Manakala pemandu kini menerima panel instrumen separa digital baharu bagi menggantikan meter analog sebelum ini.
Mitsubishi Xpander Cross facelift 2022 ini hanya ditawarkan dalam dua varian di Indonesia. Ia bermula dengan varian asas MT yang hanya diberikan kotak gear manual lima-kelajuan dijual pada harga 309.95 juta rupiah (RM93,437), manakala varian tertinggi Premium CVT (hanya kotak gear CVT automatik) dijual pada harga 335.75 juta rupiah (RM101,215).
Bagi model asas MT, ia menerima perincian standard meliputi set rim 17-inci, pad-pad sentuhan lembut pada kabin, lampu-lampu LED, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, paparan instrumen separa digital dengan skrin lapan-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar, skrin infotainmen sembilan-inci, kawalan pendingin hawa digital, upholsteri fabrik dan brek tangan manual.
Manakala varian tertinggi Premium CVT pula ditambah dengan sistem cruise control, upholsteri kulit sintetik, port USB pada konsol tengah, dan brek tangan elektrik.
Bagi sistem keselamatan, kedua-dua varian masih hanya diberikan dua beg-udara, Kawalan Kestabilan Aktif, Bantuan Mula Mendaki, sistem brek ABS bersama EBD dan BA, serta Active Yaw Control yang dipopularkan oleh barisan model Lancer Evolution sebelum ini. Ia juga diberikan kamera undur dengan visual pelbagai sudut serta brek dram di belakang dan cakera di hadapan standard untuk semua varian.
Unit rangkaian kuasa Xpander Cross facelift ini juga masih sama dengan Xpander facelift biasa, menampilkan enjin 4A91 1.5 liter empat-silinder MIVEC berkuasa 105 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 141 pada 4,000 rpm. Model MT kekal dengan kotak gear manual lima kelajuan yang sama, manakala versi automatik kini menggunakan kotak gear CVT bagi menggantikan transmisi 4AT sebelum ini. Ia juga kekal hanya memacu roda hadapan.
GALERI: Gambar rasmi Mitsubishi Xpander Cross facelift2022
[ad_2]
Source link