[ad_1]
Thrill memandu di jalan bukit (atau lebih popular disebut “Touge” di kalangan kaki kereta, bermaksud jalan bukit dalam bahasa Jepun) sememangnya tidak sama dengan memandu di litar. Ini kerana touge menampilkan bentuk selekoh, gradien, luas dan permukaan jalan raya yang kadang-kala lebih mencabar, ala-animasi/manga popular dari Jepun iaitu Initial D.
Namun aktiviti memandu dengan laju di jalan seperti ini sememangnya merbahaya kerana ia boleh melibatkan pengguna jalan raya yang lain terbabit dalam kemalangan. Jadi bagi memberikan peluang kepada “kaki-kaki touge” untuk melakukan aktiviti tersebut dengan lebih selamat, Malaysia Speed Festival (MSF) menganjurkan MSF Touge Hillclimb yang bakal berlangsung Ahad ini, 7 Ogos 2022 di Bukit Putus, Negeri Sembilan.
MSF sememangnya telah dikenali dengan penganjuran-penganjuran perlumbaan tahap kebangsaan untuk kereta dan motosikal di Litar Sepang, malah kini turut menganjurkan siri perlumbaan SuperMoto (juga peringkat kebangsaan) yang menjelajah pelbagai litar dalam negara. Manakala bagi MSF Touge ini, MSF mensasarkan untuk terlibat lebih dekat dengan peminat perlumbaan diperingkat akar umbi.
MSF Touge Hillclimb ini sebenarnya telah dirancang lebih dua tahun lalu, tetapi terpaksa ditunda akibat pandemik Covid-19. Perlumbaan pertama ini akan menghidangkan laluan sempit dan selekoh tajam sepanjang mendaki Bukit Putus sejauh tiga kilometer.
“Nampaknya ramai yang teruja dengan acara ini di media sosial, dan kami tak sabar untuk menyaksikan kereta-kereta dan pemandu-pemandu legenda ‘underground’ mendaki laluan ini,” kata prinsipal MSF, Adian Yein dan menambah bahawa MSF mahu menjadikan acara ini sebagai siri dengan beberapa pusingan setahun.
“Walau bagaimanapun, kerana kami memulakan sesuatu yang baru menerusi acara ini, perkara yang paling kami titik beratkan adalah keselamatan pemandu dan penonton kerana kami mahu buktikan bahawa acara seperti ini adalah selamat untuk diadakan. Sasaran kami adalah untuk menjadikan perlumbaan ini sebagai acara yang boleh diadakan berulang kali, mungkin 2-3 kali setahun,” katanya.
MSF Touge Hillclimb ini merupakan acara yang dikawalselia oleh Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dan oleh itu setiap kereta yang bertanding perlu memenuhi garis panduan keselamatan yang ketat. Pegawai, marsyal keselamatan, staf perubatan dan keselamatan kebakaran sentiasa bersedia jika berlaku kecemasan.
“MAM menantikan Touge Hillclimb pertama oleh MSF ini yang pada mulanya dijadualkan pada 2020. Kami memuji MSF atas inisiatif mereka dalam mempertimbangkan disiplin sukan ini yang sangat popular di kalangan pemandu hujung minggu. Kami berharap kebanyakan pemandu akan menggunakan saluran yang lebih selamat ini untuk menyalurkan semangat daya saing mereka. Kami ucapkan yang terbaik untuk pasukan MSF hujung minggu ini,” kata setiausaha agung MAM, Muizz Ali.
Sesi latihan untuk MSF Touge ini akan bermula pada pukul 10:15 pagi pada hari Ahad nanti. Manakala acara sebenar untuk mencatatkan masa akan bermula pada pukul 2 petang. Service Park untuk peserta-peserta yang bertanding terletak di StarFresh Agro Park – penonton boleh meletakkan kereta di sini bagi melihat pelumba dilepaskan pada garis permulaan.
MSF Touge Hillclimb kali ini disokong oleh EXN Lubricants dan Hankook motorsports tyres.
[ad_2]
Source link