[ad_1]
Selepas berkumpul buat pertama kali pada November tahun lalu di Genting Highland, kemudian berpeluang untuk melawat fasiliti Proton R3 di Shah Alam Mei lalu, pemilik-pemilik antara model produksi Proton yang paling rare dan paling berprestasi, Satria Neo R3 Lotus Racing sekali lagi berkumpul hujung minggu lalu, kali ini di Dream Street Restoration (DSR) yang terletak di Subang Jaya, Selangor.
Perhimpunan kali ini juga agak bermakna buat pemilik-pemilik ini kerana pengasas bersama DSR, En. Suriya Sankaran sebenarnya merupakan ketua projek Satria Neo R3 Lotus Racing ini ketika beliau bertugas di Proton R3. Malah sebahagian dari pemilik-pemilik Satria Neo R3 Lotus Racing ini sudahpun menggunakan khidmat kepakaran DSR bagi menyelenggara kereta mereka.
Seperti yang diketahui, hanya 25-unit Satria Neo R3 Lotus Racing dihasilkan oleh Proton dan ia dilancarkan pada Mac 2010. Namun hanya 22-unit yang masih berada di atas jalan raya. Menurut salah seorang pemilik Neo Lotus Racing ini, Devan Gunaseelan, buat masa sekarang seramai 17 orang pemilik model ini telah pun dikesan (termasuk Dato Rosyam Noor) dan berhubung sesama mereka, dan kesemua unit kereta berkenaan masih disahkan wujud.
Devan yang bertanggungjawab untuk mengesan dan menghimpunkan hampir kesemua pemilik-pemilik tersebut menyatakan bahawa dia kini sedang mencari dua lagi pemilik Satria Neo R3 Lotus Racing tersebut yang masih belum dapat dikesan semula. Dalam perhimpunan kali ini, sebanyak lima-unit Satria Neo Lotus Racing dapat dikumpulkan, dan apa yang menarik mereka bukan hanya dari Lembah Klang, malah ada yang sanggup datang dari Pulau Pinang, Ipoh, dan seorang lagi pemilik adalah dari Singapura!
Dengan wujudnya DSR bersama fasiliti sehenti baharu mereka yang secara rasmi dibuka sebulan yang lalu, kesemua Satria Neo R3 Lotus Racing ini dapat diselenggara dan direstorasi semula dengan cara yang sepatutnya bukan sahaja kerana ia diterajui oleh bekas ketua projek pembangunan model tersebut, malah DSR turut dianggotai oleh beberapa bekas staf R3 yang lain.
Antara masalah pemilik-pemilik tersebut adalah bagi mendapatkan alat ganti terutamanya komponen badan sekiranya ia rosak. Ini kerana kereta ini hanya dihasilkan sebanyak 25-unit seumpanya di dunia, dan Proton tidak lagi membekalkan komponen-komponen gantian tersebut.
Malah baru-baru ini, DSR turut telah memproduksi semula bonet hadapan Satria Neo ini yang dihasilkan dari lapisan Karbon Basah tenunan berkembar (twin weave wet carbon) bersama lapisan gentian kaca dengann kualiti yang sama serta melepasi ujian pembangunan CMSS (ujian komponen material).
Selain itu, DSR kini turut boleh mendapatkan perlindungan insuran khas untuk Satria Neo R3 Lotus Racing ini dengan menawarkan perlindungan sehingga RM75,000 untuk kereta yang telah berusia lebih dari 10-tahun tersebut.
Ketika dilancarkan pada 2010, Satria Neo R3 Lotus Racing ini dijual pada harga RM115,000. Ia masih dijana oleh enjin 1.6 liter CPS, namun dengan aci sesondol durasi lebih tinggi bersama pulley boleh laras, sistem ekzos logam tahan karat dan kemasukan rekaan semula, kotak komputer enjin talaan khas – kesemuanya dari R3, enjin tersebut mampu menghasilkan 145 hp dan tork maksima 168 Nm (125 hp/150 Nm untuk CPS standard).
Bukan sahaja lebih berkuasa, sistem injap bervariasi CPS ala-VTEC pada enjin ini juga dibuka lebih cepat iaitu pada 4,000 rpm (4,400 rpm bagi CPS biasa) dan ia tidak mempunyai masalah untuk menjerit sehingga 7,000 rpm.
Kotak gear manual lima kelajuan pada Neo R3 Lotus Racing ini juga disentuh semula oleh R3 dengan diberikan nisbah gear lebih rapat, bersama nisbah akhir 4.625 yang lebih besar dari standard. Ini membolehkan model istimewa tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat sebelum mencapat kelajuan maksima 205 km/j.
Antara kelengkapan mekanikal lain yang dipadankan pada Neo R3 Lotus Racing ini termasuk sistem suspensi perlumbaan boleh laras sepenuhnya dari Ohlins, sistem brek hadapan dengan cakera larik dan angkup empat omboh dari AP Racing, rim aloi ringan 16×7 inci dari Advanti dengan tayar Bridgestone Adrenalin RE001 bersaiz 205/45 R16, dan pelbagai lagi.
Untuk rupa luaran, model ini diberikan kit badan R3 yang dihasilkan untuk kereta lumba Satria Neo sebenar yang berlumba di Asian Touring Car Series (ATCS), bersama fender sisi hadapan khas dari material FRP dengan liang dan logo Lotus Racing, penutup bonet enjin dan door sach gentian karbon, serta layangan warna hijau Lotus Racing Green bersama jalur perlumbaan kuning dari bonet hingga pintu hatch belakang.
Manakala dalam kabin, Satria Neo R3 Lotus Racing ini diberikan tempat duduk bucket R3 balutan kulit Nappa dan sulaman logo Lotus Racing pada perehat kepala, roda stereng balutan kulit dengan tanda pukul 12 berwarna kuning serta perincian-perincian asli R3 seperti tombol gear, set pedal aloi dan juga butang penghidup enjin.
Selain itu ia juga diberikan kemasan-kemasan hijau pada papan pemuka, serta panel pintu yang diberikan upholsteri kulit istimewa bersama panel-panel hijau.
[ad_2]
Source link