[ad_1]
Selepas Perodua mengeluarkan harga anggaran bagi Perodua Alza 2022 ketika tempahannya dibuka pada bulan lalu, ramai yang menyatakan bahawa Alza baharu ini bukanlah Alza sebenar kerana dijual pada harga lebih tinggi dari model generasi sebelumnya, dan ia bukan lagi MPV mampu milik.
Namun apa yang ditunjukkan pada statistik tempahan Perodua sendiri adalah sebaliknya – sebelum ia dilancarkan secara rasmi hari ini, Perodua telah pun menerima tempahan lebih dari 30,000 unit untuk Alza generasi kedua ini, satu rekod baharu bagi jenama automotif kedua nasional berkenaan untuk tempahan model baharu.
Malah satu lagi fakta yang tak boleh dinafikan, dari 30,000 pembeli yang menempah MPV tersebut, 65% daripada mereka (atau hampir 20,000 unit) memilih varian yang paling mahal iaitu Alza 1.5 AV!
Perodua Alza 2022 ditawarkan dalam tiga varian, bermula dengan varian asas 1.5 X berharga RM62,500, diikuti varian pertengahan 1.5 H dijual pada harga RM68,000 dan varian tertinggi AV dijual pada harga RM75,500. Ia jelas jauh lebih mahal dari Alza generasi pertama yang dijual pada harga bermula RM52,661 hingga RM60,525 untuk varian dengan kotak gear automatik. Malah sebelum ini Alza turut ditawarkan dalam versi dengan transmisi manual, dijual pada harga tidak sampai RM50k.
Model generasi baharu merupakan kembar kepada Daihatsu Xenia dan Toyota Avanza/Veloz generasi terkini, diasaskan dari platform terkini Daihatsu New Global Architecture (DNGA), iaitu platform yang dibangunkan oleh Daihatsu berdasarkan platform Toyota New Global Achitecture (TNGA) – ini antara sebab mengapa ia dijual pada harga jauh lebih mahal.
Kesemua kembar MPV Xenia/Avanza/Veloz/Alza ini menerima unit rangkaian kuasa yang sama iaitu padanan enjin 2NR-VE 1.5 liter empat silinder NA berkuasa 106 PS dan tork maksima 138 Nm, digandingkan dengan kotak gear D-CVT untuk memacu roda hadapan.
Selain dari kerangka yang lebih moden menjadikan ia lebih luas dan memberikan prestasi lebih baik, Alza generasi baharu ini turut menerima sistem keselamatan yang jauh lebih canggih dari model generasi sebelumnya. Kesemua varian menerima enam beg udara secara standard bersama sistem bantuan pemanduan keselamatan Advanced Safety Assist (ASA) terkini.
Secara asasnya, sistem ASA berkenaan memberikan fungsi seperti Amaran Pra-Perlanggaran, Brek Pra-Perlanggaran (AEB, untuk kenderaan dan pejalan kaki), Kawalan Salah Operasi Pedal, Amaran Pergerakan Depan, Amaran Penukaran Lorong, Penghindaran Penukaran Lorong dan Lampu Tinggi Automatik.
Manakala varian tertinggi diberikan sistem tambahan termasuk cruise control adaptif, Kawalan Mengekalkan Lorong, Pemantau Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, Pemantau pandangan panoramik 360-darjah, serta brek parkir elektrik dengan fungsi auto-hold.
MPV baharu ini ditawarkan dalam lima warna badan berbeza, terdiri dari satu warna solid dan empat warna metalik. Satu-satunya warna solid iaitu Ivory White, bersama Glittering Silver dan warna baru Elegant Black ditawarkan untuk ketiga-tiga varian, manakala warna Garnet Red dan Vintage Brown hanya untuk varian H dan AV. Ia hadir dengan perlindungan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km.
Untuk lebih perincian berkenaan Perodua Alza 2022 ini, anda boleh baca laporan pelancarannya yang telah kami sediakan pada PAUTAN INI, dan untuk mengetahui perbezaan antara varian anda boleh rujuk laporan khas kami pada PAUTAN INI.
GALERI: Perodua Alza 2022 1.5L AV
GALERI: Perodua Alza 2022 1.5L H
GALERI: Perodua Alza 2022 1.5L X
GALERI: Perodua Alza 2022 dengan kit GearUp
GALERI: Brosur Perodua Alza 2022
[ad_2]
Source link