[ad_1]
Macam biasa, setiap kali jenama automotif tempatan melancarkan model baharu, pasti ada yang sudah bersedia dengan komen “bila la nak buat kereta sendiri, asyik tiru kereta orang je?” Bagi Perodua, zaman rebadge mereka sebenarnya sudah lama berlalu, tetapi ramai yang tidak perasan kan?
Bermula dengan Bezza, Perodua telah mula membangunkan bahagian atas badan mereka sendiri, manakala asasnya masih menggunakan platform sama dengan Axia. Manakala Myvi generasi ketiga, Perodua menghasilkan platform hatchback segmen-B berkenaan di Malaysia yang diubahsuai dari platform Myvi generasi kedua, bersama badan atas yang juga direka sendiri. Malah Daihatsu turut mengambil Myvi generasi ketiga berkenaan untuk direbadge sebagai Daihatsu Sirion untuk dijual pada pasaran Indonesia.
Bagi Perodua Ativa pula, Perodua bukan sekadar menukar logo model Daihatsu Rocky dan Toyota Raize. Malah sebenarnya ketika peringkat awal pembangunan SUV segmen-B berkenaan di Jepun, ia melibatkan kerjasama antara jurutera Daihatsu, Toyota dan Perodua, kemudian produk akhir Ativa disudahkan oleh Perodua di Malaysia.
Kaedah yang sama juga sebenarnya digunakan dalam pembangunan MPV Perodua Alza 2022 yang baru dilancarkan pada pagi ini. Perodua bukan mengambil Daihatsu Xenia atau Toyota Avanza/Veloz pasaran Indonesia yang sudah siap kemudian hanya menukar bampar dan logo untuk menjadikannya ia sebuah Alza, sebaliknya pembangunan awal untuk kesemua MPV ketiga-tiga jenama berkenaan dibuat bersama oleh jurutera Daihatsu Jepun dan Indonesia serta jurutera Perodua.
Menurut Perodua, projek pembangunan Perodua Alza generasi kedua ini telah dimulakan sejak April 2018, dan mereka telah membelanjakan sejumlah RM770 juta untuk menyiapkannya. Malah seperti model-model Perodua yang lain, Alza 2022 mempunyai kandungan komponen yang dibuat secara tempatan yang cukup tinggi, mencecah 95%.
“Perkongsian ini membolehkan Perodua dan para pembekalnya bekerjasama dengan Daihatsu untuk mencapai skala ekonomi dan meningkatkan kos pembangunan model baharu, dan dalam kes ini Perodua Alza serba baharu,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato Zainal Abidin Ahmad.
Sama seperti Ativa, Alza 2022 ini diasaskan dari platform terkini Daihatsu New Global Architecture (DNGA), iaitu platform yang dibangunkan oleh Daihatsu berdasarkan platform Toyota New Global Achitecture (TNGA). Kesemua kembar MPV Xenia/Avanza/Veloz/Alza ini menerima unit rangkaian kuasa yang sama iaitu padanan enjin 2NR-VE 1.5 liter empat silinder NA berkuasa 106 PS dan tork maksima 138 Nm, digandingkan dengan kotak gear D-CVT untuk memacu roda hadapan.
Selain dari kerangka yang lebih moden menjadikan ia lebih luas dan memberikan prestasi lebih baik, Alza generasi baharu ini turut menerima sistem keselamatan yang jauh lebih canggih dari model generasi sebelumnya. Kesemua varian menerima enam beg udara secara standard bersama sistem bantuan pemanduan keselamatan Advanced Safety Assist (ASA) terkini.
Secara asasnya, sistem ASA berkenaan memberikan fungsi seperti Amaran Pra-Perlanggaran, Brek Pra-Perlanggaran (AEB, untuk kenderaan dan pejalan kaki), Kawalan Salah Operasi Pedal, Amaran Pergerakan Depan, Amaran Penukaran Lorong, Penghindaran Penukaran Lorong dan Lampu Tinggi Automatik.
Manakala varian tertinggi diberikan sistem tambahan termasuk cruise control adaptif, Kawalan Mengekalkan Lorong, Pemantau Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang, Pemantau pandangan panoramik 360-darjah, serta brek parkir elektrik dengan fungsi auto-hold.
Perodua Alza 2022 ditawarkan dalam tiga varian, bermula dengan varian asas 1.5 X berharga RM62,500, diikuti varian pertengahan 1.5 H dijual pada harga RM68,000 dan varian tertinggi AV dijual pada harga RM75,500.
MPV baharu ini ditawarkan dalam lima warna badan berbeza, terdiri dari satu warna solid dan empat warna metalik. Satu-satunya warna solid iaitu Ivory White, bersama Glittering Silver dan warna baru Elegant Black ditawarkan untuk ketiga-tiga varian, manakala warna Garnet Red dan Vintage Brown hanya untuk varian H dan AV. Ia hadir dengan perlindungan waranti selama lima-tahun atau 150,000 km.
Untuk lebih perincian berkenaan Perodua Alza 2022 ini, anda boleh baca laporan pelancarannya yang telah kami sediakan pada PAUTAN INI, dan untuk mengetahui perbezaan antara varian anda boleh rujuk laporan khas kami pada PAUTAN INI.
GALERI: Perodua Alza 2022 1.5L AV
GALERI: Perodua Alza 2022 1.5L H
GALERI: Perodua Alza 2022 1.5L X
GALERI: Perodua Alza 2022 dengan kit GearUp
GALERI: Brosur Perodua Alza 2022
[ad_2]
Source link