[ad_1]
Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) baru sahaja dibuka pada tengah hari Jumaat lalu. Dan baru dua hari, semalam sudah ada kes kemalangan yang melibatkan kereta yang berhenti di lorong kecemasan Lebuhraya berkenaan semata-mata untuk menikmati pemandangan indah menghadap bandaraya Kuala Lumpur.
Lebuhraya SUKE ini unik kerana 90% jajarannya adalah “terapung” dan hanya 10% berada di atas permukaan tanah sebenar. Ini kerana terdapat laluan lebuhraya ini dibina di tengah-tengah kawasan sesak seperti di Cheras dan Ampang, untuk menyuraikan trafik di kawasan tersebut, terutamanya di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) yang sangat-sangat padat.
Jadi dengan di bina pada altitud yang cukup tinggi, SUKE menyajikan pandangan yang cukup indah. Jika anda menuju ke Kuala Lumpur dari Cheras-Kajang melepasi Plaza Tol Bukit Teratai, anda akan dapat melihat hampir keseluruhan Bandaraya Kuala Lumpur termasuk empat bangunan ikonik di bandaraya berkenaan iaitu Menara KL, Menara Berkembar Petronas, Menara Merdeka 118 serta Menara Exchange 106 (TRX).
SUKE juga menampilkan lorong kecemasan yang cukup luas iaitu selebar 3.5 meter untuk sepanjang 24.4 km laluan lebuhraya tersebut bagi memudahkan kenderaan-kenderaan kecemasan seperti trak Bomba dan Ambulans menghantar pertolongan sekiranya berlaku sebarang insiden.
Sebaik sahaja ia dibuka, seperti dijangka, dengan pemandangan yang cantik di kawasan yang dinyatakan tadi serta lorong kecemasan yang cukup lebar, akan ada pengguna jalan raya yang akan berhenti di lorong berkenaan untuk bersantai menikmati pemandangan dan mengambil gambar seperti foto yang sempat dirakam oleh pembaca paultan.org, Nic Wang di atas.
Dan di sinilah juga sebenarnya kemalangan pertama di SUKE berlaku semalam, apabila sebuah Perodua Myvi berwarna kuning berhenti di lorong kecemasan kawasan tersebut dirempuh oleh sebuah motosikal Suzuki. Tiada kehilangan jiwa dilaporkan, namun berdasarkan gambar yang disiarkan oleh Polis Daerah Ampang Jaya, boleh tahan teruk juga kecederaan yang dialami oleh penunggang terbabit.
Dengan berlakunya kemalangan begini, sudah tentu ada yang memberikan pendapat “kenapa tak buat tempat rekreasi kat kawasan tu?”, sama seperti setiap kali berlaku di insiden di Jalan Temiang-Pantai Negeri Sembilan bukan? Untuk pengetahuan anda, sebelum Lebuhraya SUKE ini dibuka, Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLintas) sudahpun mempunyai tapak untuk membangunkan tempat sedemikian.
Kawasan yang berdekatan dengan Plaza Tol Bukit Teratai berkenaan dikenali sebagai Tasik Tambahan, dan ia bakal dibangunkan dengan sebuah fasiliti Rehat & Rawat (R&R) yang akan menyediakan “Lookout Point” untuk anda melihat dan bergambar dengan latar belakang “KL City Skyline” tersebut.
Menurut CEO kumpulan PROLintas Datuk Mohammad Azlan Abdullah ketika majlis taklimat kepada media Rabu minggu lalu, kawasan Rehat dan Rawat berkenaan akan dilengkapi dengan pelbagai outlet makanan dan minuman bagi membolehkan anda bersantai di kawasan itu.
Jadi buat masa sekarang, diharap kita bersabar dahulu. Jangan kerana teruja untuk melihat dan mengambil gambar pemandangan, nyawa sendiri dan pengguna jalan raya yang lain dipertaruhkan pula.
[ad_2]
Source link