[ad_1]
Untuk enam bulan pertama tahun 2022, Proton telah menerima lebih 150,000 unit tempahan kenderaan. Ini didedahkan oleh Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah sewaktu majlis pelancaran kilang enjin baharu syarikat ini di Tanjung Malim semalam, dan turut disebut dalam pengumuman prestasi jualan terbaru syarikat itu baru-baru ini.
Tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berakhir pada 30 Jun lalu sudah pasti memberi kesan terhadap tempahan, di mana pembeli pantas memanfaatkan penjimatan yang datang dengan ‘cuti cukai’. Sebagai contoh, X70 MC yang dilancarkan pada 9 Jun pada asalnya diumumkan berharga dari RM93,900 di atas jalan tanpa insurans, termasuk pengecualian SST.
Walau bagaimana pun, selepas 30 Jun, SUV berkenaan ditawarkan pada harga bermula RM98,800, atau RM4,9000 lebih tinggi berbanding sebelum ini. Ia adalah untuk varian asas 1.5 TGDi Standard 2WD, malahan empat lagi varian lain turut menyaksikan peningkatan harga setelah kembalinya cukai SST. Menurut Roslan, 10,985 tempahan adalah untuk X70 MC yang diterima sejak SUV ini dilancarkan, manakala Saga pula telah ditempah sebanyak 34,017 unit dalam enam bulan pertama tahun ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 4 Julai lalu, Roslan berkata, “Jun menjadi bulan paling sibuk untuk industri automotif dengan hampir kesemua jenama berusaha untuk mengeluarkan sebanyak mungkin kereta untuk memenuhi permintaan pasaran. Apabila pengumuman mengenai insentif SST yang ditamatkan mulai 1 Julai membuatkan para pelanggan bergegas untuk membuat tempahan bagi mengambil manfaat daripada penjimatan yang ditawarkan.”
Tambah beliau, “Proton telah menerima lebih daripada 150,000 tempahan untuk enam bulan pertama tahun ini dan apabila ditambah dengan pesanan dari 2021, kami perlu bekerja keras untuk menghantar kereta yang ditempah kepada pelanggan secepat mungkin.”
Sebelum berakhirnya pengecualian SST, Proton berkata ia akan berhenti menerima tempahan baharu berdasarkan model iaitu bergantung kepada had pengeluarannya. Selain itu, Proton juga akan berusaha untuk memastikan pelanggan yang telah membuat tempahan sebelum tamat tempoh pengecualian SST dapat menerima dan mendaftar kenderaan mereka sebelum 1 April 2023 untuk menikmati penjimatan cukai tersebut.
Walaupun jumlah tempahan adalah menggalakkan, namun transaksi pembelian masih tertakluk kepada terma dan syarat, termasuk kelulusan pinjaman bank. Oleh itu, tidak semua tempahan yang pasti akan ditukar kepada jualan, kata Roslan ketika itu.
Dari Januari hingga Jun tahun ini, Proton telah berjaya menghantar sejumlah 60,124 unit kenderaan, dengan 14,787 unit daripadanya terjual pada bulan Jun. Dianggarkan, perkongsian pasaran setakat ini adalah sekitar 18.2%, di mana ia menyusut 5.1% berbanding tempoh yag sama pada tahun lalu.
[ad_2]
Source link