[ad_1]
Proton mengumumkan bahawa ia berjaya mencatatkan jualan sebanyak 14,787 unit sepanjang bulan Jun, iaitu prestasi jualan bulanan terbaik pernah dicatatkan untuk sepanjang tahun ini. Walau bagaimanapun, angka berkenaan bukan hanya dikira berdasarkan jualan tempatan, malah turut termasuk penghantaran ke pasaran eksport.
Menurut syarikat tersebut dalam kenyataan yang dikeluarkan, prestasi yang memberangsangkan berkenaan menunjukkan komitmen mereka bagi menyelesaikan isu bekalan komponen, yang sebelum ini menyaksikan banyak tempahan dari pelanggan yang tertanggguh.
Angka yang ditunjukkan tersebut mewakili peningkatan sebanyak 51.0% berbanding bulan lalu dan menjadikan jumlah jualan kumulatif tahunan 2022 adalah 60,124 unit, atau peningkatan sebanyak 3.9% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Proton turut menyatakan bahawa ia masih mengekalkan kedudukan di tangga kedua di dalam industri automotif tempatan dengan anggaran pegangan pasaran semasa sebanyak 22.6%. Manakala jumlah pegangan pasaran tahunan mencatatkan 18.2%, penurunan sebanyak 5.1% berbanding enam bulan pertama pada tahun lepas. Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan sebanyak 331,164 unit.
Dari keseluruhan jumlah jualan bulan lalu, Proton Saga 2022 MC2 yang diperkenalkan pada 12 Mei lalu menjadi pemacu utama dengan 5,460 unit telah didaftarkan pada bulan lepas, sekaligus melonjakkannya kembali menjadi sedan segmen-A paling laris di Malaysia, dan mencatatkan jumlah jualan kumulatif tahunan kepada 23,484 unit setakat ini.
SUV segmen-B Proton X50 pula mencatatkan jualan bulanan terbaik pernah direkodkan sejak ia dilancarkan dengan 4,473 unit berjaya dihantar kepada pelanggan bulan lalu, dan ia masih SUV paling laris di Malaysia buat masa sekarang. Manakala SUV Proton X70 yang baharu sahaja dikemaskini pada bulan lalu mencatatkan jualan bulanan 2,969 unit; bukan sahaja mencatatkan prestasi terbaiknya sepanjang tempoh 20 bulan kebelakangan ini, malah masih bergelar SUV segmen-C paling laris dalam negara.
Satu-satunya MPV dalam barisan model Proton iaitu Exora berjaya dijual sebanyak 513 unit sepanjang Jun, menjadikan ia kekal sebagai MPV segmen-C paling laris di Malaysia. Kembar segmen-B iaitu sedan Proton Persona dan hatchback Proton Iriz pula masing-masing mencatatkan jualan 1,224 unit dan 421 unit dan meletakkan mereka di posisi ketiga dan keempat dalam segmen masing-masing.
“Jun adalah bulan yang sibuk bagi industri automotif dengan kebanyakan jenama berusaha mengeluarkan sebanyak mungkin kenderaan bagi memenuhi permintaan pasaran. Pengumuman bahawa insentif SST akan berakhir pada 1 Julai juga mendorong tempahan apabila pelanggan bergegas mengambil kesempatan daripada penjimatan yang ditawarkan. Proton telah menerima lebih daripada 150,000 tempahan untuk enam bulan pertama tahun ini dan sekiranya ditambah kepada pesanan yang diterima pada tahun 2021, kami perlu bekerja keras dalam memastikan penghantaran kenderaan dilakukan dengan secepat mungkin seterusnya memenuhi pemintaan pelanggan,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton.
“Kami bersyukur bahawa isu bekalan komponen dapat diselesaikan secara berperingkat, ia bukan sahaja dapat meningkatkan pengeluaran, tetapi juga memberi impak positif kepada rangkaian selepas jualan. Seperti yang dijanjikan, semua cawangan 3S/4S kami kini mempunyai stok tiga bulan bagi komponen bergerak pantas (FMP) dan ini direplikasi di gudang alat ganti kami. Isu bekalan bagi komponen yang lain juga sedang diselesaikan, dan kami berharap dapat memberikan tahap perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik kepada pelanggan kami tidak lama lagi,” tambahnya lagi.
[ad_2]
Source link