[ad_1]
Sekali lagi, SUV tujuh tempat duduk Proton yang dikhabarkan bakal digelar X90 dilihat sedang diuji. Ia sekali lagi dilihat di kawasan berbukit di Genting Highlang, tetapi apa yang menarik pada set gambar yang dihantar kepada kami oleh pembaca Yusuf Iman dan Shairol Azhar ini ialah Proton X90 tersebut nampaknya diuji bersama Mazda CX-8 dan juga Kia Carnival generasi sebelum ini sebagai penanda aras.
Walau bagaimanapun, unit yang dilihat ini sebenarnya masih lagi sebuah Geely Haoyue/Okavango dan belum dijelmakan sebagai sebuah Proton sebenar kerana menampilkan kedudukan pemandu sebelah kiri. Jadi boleh diagak ia masih lambat lagi untuk dilancarkan di Malaysia.
Malah sebelum ini naib CEO Proton Roslan Abdullah sendiri menyatakan bahawa SUV tujuh-tempat duduk tersebut tidak akan dilancarkan pada tahun ini, sebaliknya paling awal pun ia mungkin masuk ke pasaran tempatan pada tahun hadapan.
“Sepatutnya tahun ini, rancangan asal, kalau bukan kerana MCO adalah tahun lepas,” kata Roslan. “Ia sepatutnya dibuat Q3 tahun ini, tetapi ia ditunda lagi dan sekarang kawan kita di China (Geely) juga sedang mengalami lockdown,” katanya.
Selain dari itu, Proton juga menyatakan bahawa penangguhan pelancaran model baharu ini adalah kerana ia sedang menumpukan untuk menyelesaikan masalah ketersediaan alat ganti di pusat-pusat 3S dan 4S rasminya, serta cuba untuk menyiapkan secepat mungkin tempahan-tempahan pelanggan bagi model sedia ada bagi membolehkan mereka mendapat insentif pengecualian SST. Setakat ini pelanggan yang menempah model Proton X50 memerlukan tempoh menunggu sehingga enam-bulan bergantung kepada warna dan varian bagi mendapatkan kereta mereka.
Tiada sebarang petunjuk rasmi diberikan oleh Proton berkenaan spesifikasi X90 pasaran Malaysia kelak. Di China, Geely Haoyue ditawarkan dalam versi lima- atau tujuh-tempat duduk. Namun ia hanya ditawarkan satu pilihan unit rangkaian kuasa iaitu enjin 1.8 liter empat-silinder turbo berkuasa 181 hp dan tork maksima 300 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan, sama seperti Proton X70 sedia ada.
Manakala di Filipina, model ini dijual dengan nama Geely Okavango. Berbanding Haoyue di China, Okavango diberikan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder yang digandingkan bersama sistem hibrid ringkas 48-volt. Ia menghasilkan kuasa keseluruhan 190 PS dan tork maksima 300 Nm, dan dipindahkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan.
Apa yang menarik, unit rangkaian kuasa hibrid ringkas berkenaan telah pun dipamerkan di Galeri Inspirasi, iaitu ruang istimewa di Pusat Kecemerlangan Proton (ibu pejabat jenama berkenaan) di Subang, yang memaparkan pelbagai informasi dari segi warisan sejarah, teknologi sedia ada dan juga hala tuju mereka selepas ini.
Proton menamakan unit rangkaian kuasa berkenaan sebagai 1.5L TGDi dengan sistem stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG). Menurut maklumat yang diberikan Proton, unit 1.5L TGDi dengan BSG tersebut menghasilkan kuasa yang sama seperti enjin 1.5L TGDi yang ada pada Proton X50 Flagship buat masa sekarang. Jadi tidak mustahil, Proton X90 ini mungkin model pertama Proton yang akan dijana oleh unit rangkaian kuasa hibrid.
[ad_2]
Source link