[ad_1]
Adakah anda memiliki kenderaan dengan plat nombor pendaftaran yang tidak mengikut undang-undang serta menggunakan lapisan cermin gelap (tinted) yang melebihi had yang ditetapkan? Jika ya, anda mungkin tergolong daripada kumpulan berpendapatan T20, ujar Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS).
Menyiarkan kaji selidik yang dijalankan secara bersiri menerusi Twitter, firma berkenaan menyebut kajian yang dilakukan pada Mei lalu, dikendalikan oleh sepasukan pemerhati di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur pada waktu sibuk pada hari bekerja. Pemantauan dilakukan terhadap kenderaan yang bergerak memasuki KL pada waktu kesesakan, dan pasukan berkenaan mendapati sejumlah 1,256 kenderaan didapati melanggar undang-undang.
Dianggarkan 58.8% kereta yang menggunakan nombor plat menyalahi undang-undang ialah milik kumpulan T20 manakala 25.6% pula dari kumpulan M40 dan 15.9% pula kumpulan B40, penetapan kumpulan berpendapatan ini berdasarkan harga kereta baharu di pasaran. Firma ini turut menambah, pihaknya mengandaikan setiap kereta yang diperhatikan itu dibeli menerusi pinjaman bank, dengan pelan pembiayaan balik lima-tahun dan tiada bayaran muka.
Katanya lagi, 56% daripada jumlah kereta yang menggunakan plat nombor menyalahi undang-undang itu, didapati berharga lebih RM160,000 (kereta baharu) di pasaran semasa, sementara 13% pula berharga dari RM120,001 hingga RM160,000 dan 12% lagi antara RM80,000 hingga RM120,000. Manakala kereta yang berharga RM50,000 atau kurang dari itu hanya sekitar 8% daripada jumlah kereta yang diperhatikan yang menggunakan plat nombor terbabit.
Pasukan Cent-GPS juga membuat pecahan data berdasarkan jenama kereta. Untuk kereta buatan Asia (Toyota, Honda, Lexus dan lain-lain) merangkumi 51% daripada jumlah keseluruhan, sementara jenama Continental (Mercedes, Audi, BMW, dan lain-lain) mencecah 33.4%. Manaakala kereta buatan Malaysia pula, sekitar 15.6%, dan firma itu berkata kebanyakannya melibatkan Proton X70.
Bagi kenderaan dengan lapisan sermin gelap yang melebihi had peratusan yang ditetapkan (cermin sisi hadapan, 50% transmisi ketelusan cahaya adalah had yang dibenarkan), kajian mendapati kumpulan T20 turut mendahului kesalahan itu, dianggarkan sekitar 52.8% kereta yang menggunakan lapisan cermin gelap adalah berharga lebih RM160,000.
Walau bagaimana pun, Cent-GPS berkata mereka tidak mempunyai kelengkapan untuk mengukur tahap kegelapan lapisan cermin tersebut dan hanya merekodkan kereta yang menggunakan cermin gelap pada bahagian pemandu dan berkata pelaksanaan kajian ini akan dipertingkatkan pada masa akan datang.
Bagaimanapun, berdasarkan penemuan umum ini, ia menyatakan bahawa kereta melebihi RM160,000 jelas mendominasi kedua-dua kategori, dan ini menimbulkan persoalan, “mengapa masyarakat melayan mereka yang ‘seolah-olah kaya’ dengan lebih keistimewaan, membuatkan golongan sebegini berani untuk melanggar undang-undang.”
Tambahnya, hasil kajian ini juga menimbulkan persoalan mengenai penggubalan dasar dan kedaulatan undang-undang negara. “Jika sesuatu yang mudah seperti undang-undang nombor plat kereta tidak dipatuhi oleh kumpulan tertentu di negara kita, bagaimana kita hendak menguatkuasakan undang-undang yang lebih kompleks pada masa hadapan?” soal firma itu.
[ad_2]