[ad_1]
Sony Honda Mobility kini menjadi sebuah entiti yang sah dan baru ditubuhkan, berikutan pengumuman usaha sama itu yang diumumkan Jun tahun lalu. Ini dimeterai selepas dua konglomerat besar Jepun itu menandatangani MoU pada Mac untuk sama-sama membangunkan kenderaan bateri elektrik dengan nilai tambah yang tinggi untuk dikomersialkan.
Entiti baru itu diumumkan oleh wakil pengarah, pengerusi dan CEO Yasuhide Mizuno (dari Honda) dan presiden serta COO Izumi Kawanishi (dari Sony). Dalam kenyataannya, Sony Honda Mobility (SHM) berhasrat untuk menjadi sebuah syarikat teknologi mobiliti berasaskan perisian dengan menyediakan produk dan servis bernilai tambah, dan dengan membina hubungan baru dengan pelanggan.
Tempahan untuk produk pertama SHM juga akan dibuka sebelum 2025, diikuti dengan serahan pertama kepada pelanggan di Amerika Syarikat pada 2026. Serahan untuk pasaran Jepun pula akan dimulakan pada separuh kedua 2026. Produk pertama itu akan dikeluarkan dari kilang Honda di Amerika Utara.
Konsep EV nilai tinggi itu, seperti dinyatakan oleh SHM, akan membawakan pemanduan autonomous Tahap 3 dalam keadaan terhad, serta membolehkan bantuan pemandu Tahap 2+ dalam keadaan memandu lebih luas, seperti di persekitaran urban. Antaramuka antara manusia dan mesin dengan sambungan kepada servis cloud juga akan diperkenalkan.
SHM beribupejabat di Minato-ku di Tokyo, Jepun dengan modal permulaan 10 bilion yen (RM319 juta). Nisbah pelaburan itu dibahagikan sama rata antara Sony Group Corporations dan Honda Motor Company, dengan lembaga pengarahnya terdiri daripada Shugo Yamaguchi sebagai pengarah dan timbalan presiden; Kojiro Okabe sebagai pengarah dan EVP; Manabu Ozawa sebagai pengarah dari Honda dan Naoya Horii sebagai pengarah dari Sony — sebagai tambahan kepada Mizuno dan Kawanishi yang dinyatakan itu.
Pada Januari 2020, Sony menunjukkan kereta Vision-S di CES 2020, menampilkan penggunaan kamera, skrin, kemampuan pemanduan autonomous serta servis penstriman untuk katalog multimedia Sony dan boleh juga disambung dengan konsol permainan PlayStation.
Ini diikuti pula dengan Vision-S 02 konsep tujuh-tempat duduk, dua tahun selepas model sedan berkenaan. Walaupun Sony sebelum ini menyatakan pihaknya tidak akan mengeluarkan kenderaan itu untuk umum, mereka tetap ada menjalankan ujian jalanan, dan kemudian diteruskan dengan usahanya mencari rakan automotif untuk mengkomersialkan projek EV itu.
[ad_2]
Source link