[ad_1]
Sebelum ini, ada cakap-cakap yang menyebut bahawa Perodua sedang membangunkan sebuah SUV segmen B yang akan diletakkan di atas Ativa dalam barisan penawarannya. Mac tahun ini, syarikat itu juga ada menjalankan kaji selidik pasaran untuk mengumpul pandangan berkaitan model berkenaan.
Waktu itu, Theophilus Chin telah menghasilkan beberapa rekaan bayangan bagaimana SUV itu akan kelihatan, menggunakan asas dari Suzuki Vitara. Kini, dia kembali dengan set rekaan yang baru menggunakan asas dari Toyota Yaris Cross.
Dengan ukuran 4,180 mm panjang, 1,765 mm lebar dan 1,560 mm tinggi, Yaris Cross memang lebih besar daripada Ativa, yang berukuran 4,065 mm panjang dan 1,710 mm lebar, walaupun lebih tinggi dengan 1,635 mm. Bagi jarak antara roda, model Toyota itu lebih panjang dengan 2,560 mm berbanding Ativa 2,525 mm.
Pesaing paling hampir SUV segmen B Perodua ini tentulah Proton X50, yang lebih besar ukurannya; 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,600 mm.
Theo mengubah Yaris Cross kepada model Perodua dengan menggantikan wajah depan yang lebih bulat dengan rekaan tema-X yang lebih agresif seperti yang ada pada Ativa dan Myvi. Bampar baru, dengan gril dan bukaan bawah lebih bersegi disertai oleh rekaan ala skid plate hiasa dengan lampu utama lebih tajam serta garis bonet yang disepadankan.
Dari sisi, garis yang ada jelas kelihatan, menyambungkan bahagian lampu depan dan belakang. Rekaan pelindung badan pada Yaris Cross juga diberi sentuhan lain untuk menepati rekaan lebih tajam keseluruhannya, sementara bahagian lengkungnya dikurangkan sedikit.
Tiang D juga diubah untuk meninggikan sedikit bahagian bumbungnya, memberikan lebih banyak ruang kepala untuk penumpang. Rekaan lampu belakang dengan kelebaran penuhnya pula ditiruskan sedikit dan tidak bersentuhan dengan cermin belakang.
Lampu belakang dua-bahagian ala Harrier itu dilanjutkan hingga ke bahagian fender. Ini juga telah disesuaikan untuk meletakkan lampu belakangnya pada kedudukan lebih rendah, serta kemasan hitam berkilat di bahagian bawah bampar juga lebih kecil.
Bagi perincian teknikal pula, tiada apa yang boleh disahkan ketika ini. Ada yang menyebut SUV segmen B Perodua itu dibangun menggunakan Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang juga ada pada Ativa, Daihatsu Xenia, Avanza, Veloz dan Alza akan datang. Ia juga khabarnya akan menggunakan enjin 1.5 liter 2NR-VE Dual VVT-i yang sama dengan Myvi, diganding bersama D-CVT.
Perkara lain berkaitan kenderaan yang dijangka diperkenalkan pada 2023 ini adalah harga permulaannya dianggarkan dari RM73,000, hampir sama dengan Ativa 1.0 AV yang paling tinggi dan sedikit di bawah X50 yang dijual bermula RM79,200. Tapi semua ini hanya khabar angin, sehinggalah disahkan nanti.
Bagaimana dengan rekaan ini? Cukup menarik? Ada rasa nak beli?
[ad_2]
Source link