[ad_1]
Tenaga Nasional Bhd (TNB) bersedia melabur sebanyak RM90 juta bagi menyokong ekosistem kenderaan elektrik (EV) dalam tempoh tiga tahun di negara ini.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din, ini termasuklah mmbina infrastruktur pengecasan EV di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan sebagai sebahagian daripada kerjasamanya dengan PLUS Malaysia Bhd.
“TNB menyasarkan untuk mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik bateri (BEV) bagi memperoleh nilai pasaran RM1.3 bilion menjelang 2030 dan mengalu-alukan kerjasama dengan rakan kongsi strategik dalam merangsang pertumbuhan ekosistem BEV,” katanya pada taklimat bersama pengarang media semalam, laporan Harian Metro.
Seperti yang diumumkan pada Mac lalu, TNB dan PLUS bakal bekerjasama bagi menyediakan sejumlah inisiatif kelestarian, merangkumi pembangunan bagi infrastruktur pengecasan pantas EV termasuk pemasangan sistem solar photovoltaic di dua bangunan R&R di sepanjang jajaran lebuhraya PLUS.
Lokasi cadangan untuk stesen pengecasan itu adalah di R&R Gurun (Arah Utara dan Arah Selatan, masing-masing dengan pengecas an DC Exicom 120 kW dan DC ABB 120 kW) di Kedah dan R&R Gunung Semanggol Arah Selatan (DC Charge Core 150 kW) dan R&R Tapah Arah Utara (DC Siemens 180 kW) di Perak.
Selain itu, ia juga termasuk di R&R Rawang Arah Utara (DC Charge Core 150 kW) di Selangor dan R&R Ayer Keroh Arah Utara (DC Star Charge 120 kW) di Melaka. Sementara itu, sistem solar photovtaic pula akan dipasang di atas bumbung bangunan R&R Ayer Keroh (Arah Utara) dan R&R Tapah (Arah Utara), dengan keseluruhan jumlah bagi kapasitinya adalah melebihi 360 kWp (kilowatt peak).
Selain PLUS, Baharin berkata TNB juga sedang berbincang dengan pengendali lebuh raya serta pihak berkuasa jalan persekutuan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR).
Beliau berkata pasaran EV berpotensi untuk 3,300 tempat pengecasan bagi 33,350 BEV di jalan raya menjelang 2025 dengan hasil elektrik tahunan mencecah RM80 juta, yang dijangka meningkat kepada 18,000 tempat pengecasan bagi 524,409 BEV dan hasil elektrik tahunan adalah sebanyak RM1.25 bilion menjelang 2030.
“Menjelang 2030, kami menjangkakan setengah juta EV akan berada di jalan raya dengan keperluan pengecasan elektrik 2.3 TWh, bernilai RM1.26 bilion. Ini juga bermakna pengurangan pelepasan CO2 sebanyak 4.4 juta tan dengan mengambil kira kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) di jalan raya,” tambahnya.
Katanya lagi, potensi yang memberi impak positif terhadap iklim dan keuntungan syarikat menyebabkan pembangunan ekosistem EV menjadi keutamaan yang jelas untuk TNB.
Di samping membina infrastruktur pengecasan, TNB juga akan menyediakan kursus peningkatan kemahiran dan kemahiran semula untuk industri EV, elektrifikasi kira-kira 4,200 kenderaan TNB sendiri, menaja kajian berkaitan EV dan memupuk gabungan dalam kalangan pemain sektor EV, seperti ZEVA (Persatuan Kenderaan Pelepasan Sifar).
[ad_2]
Source link