[ad_1]
Toyota Hilux GR Sport telah diperkenalkan di beberapa pasaran seperti Eropah, Jepun dan juga Thailand, dengan masing-masing tampil dengan rupa tersendiri dan tidak sama antara satu sama lain. Namun apa yang pasti, kesemua versi Toyota Hilux GR Sport berkenaan rata-rata hanya diberikan kit penggayaan yang lebih sporty dan sedikit talaan semula dibuat pada suspensi, tanpa sebarang penambahan kuasa.
Buat masa sekarang, Toyota bukan hanya mendominasi Kejohanan Rali Dunia (WRC), malah turut bergelar juara Rali Dakar tahun ini dengan jentera Toyota GR DKR Hilux T1+. Untuk pengetahuan anda, bagi Rally Dakar, Toyota diwakili oleh pasukan Toyota Gazoo Racing South Africa, yang turut bertanggungjawab membangunkan trak lumba berkenaan. Jadi di Afrika Selatan, mereka kini menerima Hilux GR Sport yang benar-benar lebih berkuasa dari versi standard!
Toyota Hilux GR Sport 2022 pasaran Afrika Selatan ini masih dijana oleh enjin turbodiesel 1G-FTV 2.8 liter empat-silinder yang sama seperti Hilux pasaran lain termasuk Malaysia. Namun ia telah menerima talaan semula pada kotak komputer enjin bagi mengerah 224 PS dan tork maksima 550 Nm, berbanding kuasa asal pada kadar 204 PS dan tork maksima 500 Nm.
Enjin berkenaan masih dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan, tetapi ia turut menerima talaan semula pada pemetaan dan kawalan lock-up bagi mengoptimakan penghantaran kuasa ke roda. Menurut Toyota Afrika Selatan, talaan semula yang dibuat pada unit rangkaian kuasa ini membolehkan Hilux GR Sport berkenaan mencatatkan masa pecutan 0-100 km/j 0.65 saat lebih pantas (catatan model biasa tidak disertakan) dan kelajuan maksima ditetapkan pada 175 km/j.
Sistem pacuan empat roda 4×4 seperti Hilux biasa masih ditawarkan pada versi GR Sport ini, dan gandar belakang juga masih disertakan dengan unit LSD automatik.
Hilux GR Sport Afrika Selatan ini turut menerima talaan semula terhadap suspensi bagi memberikan pengendalian lebih baik. Untuk itu, ia diberikan penyerap hentak baharu dan dipadankan bersama spring gegelung yang lebih keras. Menurut Toyota, tetapan ini memberikan kestabilan ketika kelajuan tinggi dan respon pengendalian yang dipertingkat.
Untuk set roda, Hilux GR Sport ini menerima rim rekaan khas dengan berdiameter 17-inci, dibalut dengan tayar bersaiz 265/65R17. Ia berbeza dengan Hilux varian enjin 2.8L lain yang diberikan rim 18-inci dengan tayar 265/60R18. Menurut Toyota, rim dengan diameter lebih kecil tersebut membolehkan ia diberikan tayar dengan profil lebih tebal, menyumbang kepada prestasi off-road yang lebih baik.
Pada bahagian luaran, Hilux GR Sport Afrika Selatan ini menerima muka dengan rekaan yang sama seperti Hilux GR Sport pasaran Eropah. Ia menampilkan lampu hadapan LED, gril berbentuk heksagon dengan diberikan pembahagi tengah kemasan seakan gentian karbon bersama skrip klasik Toyota dan juga logo GR, bersama liang udara sisi melintang yang juga menjadi perumah lampu kabus LED.
Ia juga menerima overfender yang lebih lebar dari model biasa, sports bar GR berwarna hitam, bersama kemasan-kemasan hitam pada penutup cermin sisi, pembuka pintu dan pemijak sisi. Untuk mendapatkan rupa lebih agresif, pembeli juga ditawarkan dengan pelekat badan GR yang dilekat pada pintu.
Empat warna badan disediakan untuk Toyota Hilux GR Sport pasaran Afrika Selatan ini iaitu Arizona Red, Graphite Grey, Attitude Black dan Glacier White.
Bahagian kabin trak pikap berprestasi ini turut menerima sentuhan GR yang lebih sporty. Papan pemukanya diberikan perapi dengan serlahan merah dan gentian karbon. Manakala pemandu menerima roda stereng balutan kulit dengan serlahan jahitan merah bersama logo GR, paparan instrumen dengan jarum merah dan grafik pemula GR pada skrin pelbagai info TFT berwarna, butang penghidup enjin GR dan juga set pedal aluminium.
Selain itu, Hilux istimewa ini juga menerima tempat duduk sport hadapan dengan upholsteri gabungan kulit dan alcantara, serlahan benang merah serta sulaman logo GR pada perehat kepala. Ia turut diberikan perapi-perapi kemasan gentian karbon pada panel pintu, serta serlahan-serlahan benang merah pada bahagian lain termasuk pada tuil brek tangan.
Toyota turut menyatakan bahawa model GR Sport ini menerima perincian-perincian yang sama seperti model varian Legend Afrika Selatan termasuk skrin infotainmen Display Audio dengan hubungan Android Auto dan Apple Carplay serta pemantau panaromik, enam pembesar suara, sistem pendingin hawa dua-zon dan pelbagai lagi, kecuali cermin pandang belakang auto-malap dan sistem audio JBL.
Untuk keselamatan, trak pikap ini dibekalkan dengan pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) dengan fungsi seperti Adaptive Cruise Control, Lane Departure Alert (LDA) dan Pre-Collision System (PCS). Sistem-sistem keselamatan asas juga masih diberikan termasuk sistem brek ABS bersama EBD, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki, enam-beg udara dan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix.
Toyota Hilux GR Sport 2022 pasaran Afrika Selatan ini dijual pada harga Rand 865,400 (RM227k). Ia diberikan waranti selama tiga tahun atau 100,000 km, serta pakej servis sebanyak sembilan kali/90,000 km.
[ad_2]
Source link