[ad_1]
Jika kita sebut tentang trak pikap Toyota, pastinya terus terbayang Toyota Hilux bukan? Malah di secara umum di Malaysia, apa sahaja yang berbentuk trak pikap, semuanya di cop sebagai ‘Hailak’. Namun sebenarnya Toyota bukan hanya ada Hilux untuk segmen trak pikap, tetapi ia ada model yang jauh lebih besar dari Hilux iaitu Tacoma dan Tundra.
Walau bagaimanapun, kedua-dua trak pikap ini dihasilkan hanya dalam versi pemanduan sebelah kiri, dengan pasaran utamanya adalah untuk Amerika Syarikat. Tetapi dalam pengumuman yang baru dibuat, Toyota mengesahkan bahawa pembangunan untuk Tundra versi pemanduan sebelah kanan (RHD) kini sedang dijalankan secara ekstensif dan ia bakal didedahkan tidak lama lagi.
Tundra dalam versi RHD ini disasarkan untuk dijual dipasaran-pasaran yang menggunakan konfigurasi pemanduan tersebut terutamanya di Australia, dan pembangunannya turut dibuat di negara berkenaan dengan kerjasama firma kejuruteraan tempatan, Walkinshaw Automotive Group.
Sekitar 300 unit prototaip Tundra versi RHD ini akan muncul di Australia bulan hadapan; bukan untuk dijual, sebaliknya kesemua unit tersebut digunakan sebagai ujian terakhir pembangunannya, dan ia akan dipantau untuk kegunaan sebenar di Australia.
Proses kejuruteraan semula untuk mengubah kedudukan pemandu dari sebelah kiri ke kanan ini akan melibatkan penggunaan komponen seperti kolum dan rak stereng, pedal pendikit dan brek serta tuil penukar gear yang diambil dari SUV Land Cruiser 300. Toyota juga menyatakan bahawa kesemua unit prototaip Tundra RHD ini menerima unit rangkaian kuasa hibrid menampilkan enjin petrol V6 3.5 liter turbo.
Di Amerika Syarikat unit rangkaian kuasa tersebut dikenali sebagai unit iForce Max, menampilkan enjin V6 V35A-FTS 3.5 liter turbo berkembar, digandingkan dengan unit motor generator pada bell housing kotak gear bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 437 hp dan tork maksima 790 Nm serta transmisi automatik 10-kelajuan.
“Ini merupakan program kejuruteraan semula khas, diterajui oleh Toyota Australia dan rakan-rakan kerjasama global kami dan ia disokong rapat oleh syarikat induk kami dan Toyota North America. Ia akan menggunakan rekaan, pembangunan, ujian dan komponen berasaskan OE (kelengkapan asli) dalam komitmen Toyota terhadap kualiti, ketahanan dan kebolehpercayaan,” kata naib presiden untuk jualan, pemasaran dan operasi franchais Toyota Australia, Sean Hanley.
Dengan adanya versi pemanduan sebelah kanan ini, tidak mustahil Tundra akan dibawa ke pasaran RHD lain termasuk ke Asia Tenggara. Sebelum ini, Hamawangsa Kredit ada membawa trak pikap bersaiz besar seperti Tundra ini ke Malaysia, iaitu Ford F-150 generasi ke-13 dan juga versi prestasi F-150 Raptor.
Kedua-dua model berkenaan menerima kerja-kerja kejuruteraan semula dari versi LHD ke RHD oleh Clive Sutton (tidak dijual dengan logo Ford sebenar, dan bukan diedarkan secara rasmi oleh Ford Malaysia iaitu Sime Darby Auto Connexion), dan ia dipasang secara tempatan di Gurun, Kedah. Agak-agak ada peluang atau tidak untuk Tundra ini dijual sebagai model istimewa oleh UMW Toyota di Malaysia?
GALERI: Toyota Tundra 2022 pasaran Amerika Syarikat
[ad_2]
Source link