[ad_1]
Selepas mendedahkan foto menunjukkan rupa sebenar Toyota Veloz pasaran Malaysia tempoh hari, UMW Toyota kali ini mendedahkan info tambahan berkenaan MPV tujuh-tempat duduk kembar kepada Perodua Alza 2022 berkenaan, sebelum ia dilancarkan di sini secara rasmi.
Menurut UMWT, Veloz diberikan jarak kelegaan tanah setinggi 190 mm – ini bermakna ia adalah 30 mm lebih tinggi dari Alza. Walau bagaimanapun, Mitsubishi Xpander masih mempunyai jarak kelegaan tanah paling tinggi dalam kelasnya iaitu 205 mm (225 mm bagi model facelift yang belum lagi tiba di Malaysia).
Jadi UMWT mungkin akan meletakkan Veloz ini lebih hampir kepada SUV berbanding MPV untuk Alza 2022. Ini kerana selain dari jarak kelegaan tanah yang tinggi, Veloz juga dipadankan dengan rel bumbung, menerima skid plate pada bahagian bawah bampar hadapan dan belakang, dan jika anda perhatikan dengan lebih teliti, kesemua fender Veloz menerima garis yang membuatkan ia lebih menonjol dan kelihatan lebih lasak dari Alza.
Seperti yang diumumkan ketika tempahannya di buka tempoh hari, Veloz 2022 pasaran Malaysia ditawarkan dengan ciri eksklusif yang tidak terdapat pada pasaran Indonesia dan Thailand iaitu diberikan warna badan dua tona, menampilkan bumbung berwarna hitam. Namun untuk skema warna ini, ia hanya ditawarkan untuk pilihan rona Silver Metallic dan juga seperti unit yang didedahkan ini iaitu Blue Metallic.
Walau bagaimanapun, pilihan warna dua-tona ini memerlukan bayaran tambahan berjumlah RM1,300. Tiga warna selebihnya iaitu White Metallic, Bluish Black dan Red Metallic datang diberikan bumbung yang dicat dengan warna badan. Satu lagi perkara yang tidak UMWT umumkan, lampu kabus LED dengan dengan susunan jalur melintang Veloz pasaran Malaysia ini juga sebenarnya berbeza dari model pasaran Indonesia dan Thailand di mana ia menerima lampu kabus bulat biasa.
UMWT turut mendedahkan sedikit bahagian dalaman Veloz 2022 pasaran Malaysia ini. Ia nampaknya masih kelihatan sama dengan model pasaran Indonesia, menampilkan kabin dengan tema utama dua tona (hitam-putih, berbanding hitam-merah pada Alza 2022) pada papan pemuka dan panel pintu, bersama perapi dengan kemasan perak, sedikit kemasan gentian karbon pada pemegang pintu, serlahan biru pada rel konsol tengah, serta menerima lampu suasana berwarna biru pada panel pintu.
Rekaan papan pemuka Veloz ini kelihatan sedikit berbeza berbanding Alza terutamanya pada suis kawalan pendingin hawa dan bahagian atas glove box. Namun ia masih menerima paparan instrumen digital dan juga roda stereng yang sama seperti Alza 2022.
Veloz turut menerima sistem brek parkir elektrik dengan fungsi auto-hold sama seperti Alza. Namun pada perehat tangan tengah, dapat diperhatikan Veloz menerima pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, yang tidak ditawarkan pada Alza. Veloz juga menerima skrin infotainmen dengan saiz yang sama seperti Alza iaitu sembilan-inci, tetapi model dengan lencana Toyota ini hadir dengan sistem hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, berbanding Alza yang hanya diberikan hubungan Android Auto (Apple CarPlay masih belum ada) yang perlu dihubungkan dengan wayar.
Toyota Veloz 2022 ini bakal menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Toyota Avanza generasi sebelum ini dan akan dijual pada pasaran Malaysia hanya dalam satu varian iaitu 1.5 A/T, yang hadir terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD), dengan harga anggaran atas jalan tanpa insuran RM95,000.
Harga tersebut juga adalah termasuk cukai jualan (SST) yang diberikan oleh kerajaan. Namun seperti yang diumumkan oleh kementerian kewangan sebelum ini, insentif pengecualian SST akan diberikan oleh pembeli yang menempah kereta mereka sehingga 30 Jun 2022 dan menerima serta mendaftarkan kereta tersebut sebelum 1 April 2023.
Jadi berbanding Alza 2022 yang dijual antara RM62,500 hingga RM75,500, Toyota Veloz 2022 adalah hampir RM20,000 lebih mahal berbanding Alza varian tertinggi iaitu AV, walaupun kedua-duanya diasaskan dari platform dan kerangka yang sama. Antara perincian lain yang telah disahkan untuk Veloz 2022 pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan LED bersama lampu nyalaan siang LED dan lampu isyarat membelok jenis sequential dan rim aloi 17-inci dengan tayar 205/50R17.
Untuk keselamatan, Toyota Veloz 2022 ini datang dengan pakej sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS), tetapi UMWT masih belum memperincikan fungsi-fungsi dalam pakej TSS untuk Veloz pasaran Malaysia ini. Namun ia mungkin seiras dengan sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA) pada Alza varian tertinggi, menampilkan fungsi seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Kawalan Kekal Lorong (LKC), Pemantau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).
Sama seperti Perodua Alza 2022 dan juga Daihatsu Xenia serta Toyota Avanza 2022, Veloz generasi baharu ini diasaskan dari platform Daihatsu Global Architecture (DNGA) pacuan roda hadapan yang jauh lebih moden berbanding casis ladder frame pacuan roda belakang Avanza generasi sebelumnya.
Ia dijana oleh enjin petrol 2NR-VE 1.5 liter empat silinder NA bersama padanan kotak gear D-CVT automatik. UMWT masih belum menyatakan angka kuasa untuk enjin berkenaan, namun untuk model pasaran Indonesia dan juga pada Alza, ia menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm pada 4,200 rpm. UMWT juga menyatakan bahawa kotak gear CVT pada Veloz 2022 pasaran Malaysia ini turut menampilkan nisbah maya tujuh-kelajuan.
[ad_2]
Source link