[ad_1]
Mei lalu, Honda telah mengesahkan bahawa model generasi baharu Honda Civic Type R bakal didedahkan sepenuhnya pada bulan ini. Dan ini mungkin antara teaser terakhir sebelum ia membuat kemunculan sulung – Honda telah menyiarkan video pendek menunjukkan Civic Type R 2023 tersebut diuji dengan tajuk “penantian hampir tamat,” dan turut diberitahu ia akan “tiba pada musim panas ini”.
Apa yang menarik, ujian terakhir tersebut dibuat pada bulan lalu di litar “The Green Hell” Nürburgring, Jerman. Adakah ini petanda bahawa Civic Type R bersedia untuk merebut semula takhta gelaran kereta produksi pacuan hadapan paling pantas di litar tersebut yang telah dirampas oleh Renault Megane RS Trophy-R tiga tahun lalu?
April lalu, Honda mengumumkan bahawa prototaip Civic Type R 2023 ini telah pun memecahkan rekod model paling hardcore untuk Civic Type R generasi FK8 sedia ada iaitu versi Limited Edition di Litar Suzuka, Jepun. Model generasi baharu tersebut mencatatkan masa lap terpantas 2 minit 23.120 saat, atau hampir satu saat lebih pantas berbanding FK8 edisi khas yang lebih ringan dari model standard dan talaan lebih fokus untuk litar tersebut.
Untuk pengetahuan anda, rekod 2 minit 23.993 saat yang dicatatkan oleh Civic Type R FK8 Limited Edition pada tahun 2020 tersebut sebenarnya telah pun berjaya meleburkan rekod 2 minit 25.454 saat yang dicatatkan oleh Renault Megane RS Trophy-R pada 2019 di Litar Suzuka. Jadi secara teori, Civic Type R 2023 ini adalah lebih dua saat lebih pantas berbanding Renault Megane RS Trophy-R di Suzuka, dan mungkin tidak ada masalah untuk meleburkan rekod Renault berkenaan di Nürburgring.
Model ini diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback. Honda telah pun mendedahkan versi prototaip Civic Type R 2023 ini tahun lalu serta membuat penampilan di Tokyo Auto Salon awal tahun ini, tetapi dengan keadaan masih dibalut dengan pelekat penyamaran.
Walaupun rupa sebenarnya diselindung disebalik pelekat tersebut, masih boleh dilihat ia diberikan fender yang lebih gemuk bagi menjadikan ia lebih lebar, serta bampar hadapan yang lebih agresif menampilkan liang pengambilan udara lebih besar dengan gril atas dan bawah diberikan elemen sarang lebah. Juga terdapat liang aliran udara di belakang ruang roda hadapan, manakala bampar belakang pula diberikan diffuser yang agak agresif serta masih menempatkan tiga tip ekzos pada bahagian tengah.
Spoiler belakang Civic Type R generasi baharu ini masih lagi bersaiz besar, tetapi ia kini direka ala GT-Wing, dengan kakinya dilekat pada kedua-dua tiang sisi cermin belakang. Seperti model FK8, model gantiannya ini turut disertakan dengan rim lebih besar bersama tayar Michelin Pilot Sport, serta set brek Brembo yang jelas kelihatan disebaliknya.
Honda masih belum memberikan sebarang pembayang berkenaan spesifkasi teknikal Civic Type R 2023 ini. Namun ia berkemungkinan masih menggunakan unit rangkaian kuasa sama seperti Type R FK8 tetapi diberikan beberapa tingkat taraf. Pada model sedia ada, Honda Civic Type R dijana oleh enjin K20C1 2.0L turbo empat silinder berkuasa 320 PS (306 hp) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan bersama unit LSD untuk memacu roda hadapan.
Boleh diagak model generasi baharu ini masih tetap akan ditawarkan dengan kotak gear manual, malah video catatan rekod tempoh hari turut menunjukkan pemandunya sentiasa sibuk untuk menukar gear sendiri.
GALERI: Honda Civic Type R 2023 Prototype
[ad_2]
Source link