[ad_1]
Seperti yang dijanjikan, Volkswagen telah mendedahkan kereta konsep baru yang dipanggil sebagai ID. Aero. Ia menjadi petunjuk kepada sedan elektrik penuh pertama jenama itu, dan merupakan ahli keenam bagi barisan model ID. selepas ID.3, ID.4, ID.5, ID.6 serta ID. Buzz.
Perkataan “global” itu perlu dilihat penting, kerana secara teknikalnya, ID. Aero ini bukanlah sedan elektrik pertama Volkswagen. Model yang memegang gelaran itu adalah e-Lavida, tetapi ia cuma dijual di China sahaja dan tidak dikira sebagai model global.
Menurut Volkswagen, ID. Aero versi produksi untuk China dijangka akan mula dijual pada separuh kedua tahun 2023, dengan dua versi berada dalam perancangan – satu bagi setiap syarikat yang mempunyai kerjasama dengannya (FAW-VW and SAIC-VW). Untuk Eropah pula, pengeluaran akan bermula pada tahun hadapan di Emden.
ID. Aero boleh dianggap sebagai satu evolusi kepada ID. Vizzion, iaitu satu lagi model konsep sedan elektrik yang ditunjuk pada tahun 2018. Walaubagaimanapun, model konsep terbaru ini dilihat sudah lebih bersedia untuk produksi.
Volkswagen memberitahu, ID. Aero mempunyai ukuran lima meter panjang, dan lebih panjang daripada Passat B8 sekarang. Terletak di atas platform Modular Electric Drive Matrix (MEB) sama seperti model ID lain, ia diberitahu dapat “menyediakan ruang dalam sangat luas”, tetapi masih belum ada gambar yang didedah.
Untuk bentuk luarannya, badan ID. Aero ini menggunakan bumbung seperti coupe dengan permukaan lain juga licin dan rata, menyumbang kepada daya geseran angin yang rendah, cuma 0.23 Cd. Banyak perincian berbentuk pangkah dapat dilihat termasuk pada lampu hadapan dan belakang, serta kemasan di bahagian bawah bampar hadapan.
Garis bonet kereta ini tidak sampai ke lampu, sekaligus memberi petunjuk bahawa bukaannya adalah lebih kecil berbanding kereta enjin biasa, dan badannya dicat warna Polar Light Blue Metallic, dengan bumbung pula berwarna hitam. Rim bersaiz 22 inci.
Volkswagen tidak memberitahu berapa kuasa motor elektrik model ini, tetapi ia dilengkapi dengan bateri lithium ion 77 kWh. Dengan bentuk yang cekap secara aerodinamik, ia diberitahu dapat memberi jarak gerak sehingga 620 km mengikut kitaran WLTP.
[ad_2]
Source link