[ad_1]
Volvo Cars Malaysia (VCM) buat pertama kali memperkenalkan Volvo Certified Damage Repair Centre (VCDR), iaitu pusat servis khas yang menawarkan khidmat membaik pulih dan mengecat badan kenderaan. Khidmat tersebut kini ditawar di dua fasilitinya di Lembah Klang iaitu di Federal Auto Cars, Glenmarie dan Sime Darby Swedish Auto, Ara Damansara.
Menurut VCM, kedua-dua pusat berkenaan kini menawarkan khidmat baik pulih dan mengecat badan kenderaan menggunakan Standard VCDR yang sama. Standard tersebut menyepadukan penggunaan teknologi mampan seperti sistem pengudaraan bertekanan rendah dengan kawalan automatik yang mengurangkan pelepasan karbon dioksida, zarah mikroskopik, dan penggunaan tenaga.
Selain itu, peralatan berkenaan menggunakan bateri semasa memanaskan sistem elektrik, dan lebih daripada 80% udara akan disedut masuk melalui sistem penapisan yang mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan gas rumah hijau. Penggunaan Sebatian Organik Meruap (VOC) dalam cat kini digantikan dengan cat berasaskan air, yang mengurangkan pendedahan pekerja kepada bahan kimia berbahaya.
Kedua-dua pusat berkenaan juga akan beroperasi dengan juruteknik-juruteknik terlatih. Dengan fasiliti berkeluasan 11,133 kaki persegi, setiap pusat servis ini berupaya untuk mengendalikan sehingga 1,260 kenderaan setahun.
“Kami sangat gembira dapat menyaksikan pencapaian Volvo Car Malaysia setakat ini,” kata Ketua APEC Volvo Cars, Nick Connor ketika melancarkan pusat perkhidmatan baharu ini.
“Daripada pelaksanaan strategi elektrifikasi global, kepada penjualan mengalakkan XC40 Recharge Pure Electric, hari ini kami di sini untuk melancarkan VCDR Volvo Car untuk merealisasikan visi kami seterusnya dalam menawarkan standard penjagaan selepas jualan yang terbaik kepada pelanggan kami. Kami sangat gembira kerana melalui pelaburan yang dilakukan oleh rakan niaga kami, Malaysia kini menjadi negara kedua di rantau ini yang memperkenalkan VCDR,” tambahnya lagi.
Pengarah Urusan VCM Charles Frump pula berkata: “Kami mahu pelanggan kami memandu pulang kereta Volvo mereka dalam pemikiran yang tenang apabila mengetahui bahawa kami bersedia untuk memberikan penjagaan standard antarabangsa Volvo untuk kenderaan mereka. Dengan memperkenalkan VCDR dalam rangkaian pengedar kami, ia membolehkan pelanggan kami menikmati kenderaan yang berfungsi dengan baik sepanjang hayatnya.”
Jeremy Gan, Pengarah Urusan Jualan Runcit dan Pengedaran Sime Darby Motors Malaysia berkata: “Kami mensasarkan untuk terus memberikan perkhidmatan dan tawaran terbaik kepada pelanggan kami. Ini termasuklah meningkatkan kemampanan operasi kami untuk meminimumkan impak kepada alam sekitar di samping mengekalkan kecemerlangan perkhidmatan kami. Oleh itu, kami berbesar hati untuk menerimaguna standard VCDR bagi kenderaan Volvo di pusat servis Sime Darby Motors Centralised Body and Paint kami, seiring dengan inisiatif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus kami untuk mengurangkan peralihan karbon, melabur secara berterusan dalam penyelesaian dan memberi inspirasi kepada perubahan yang bermakna.”
“Sebagai sebahagian daripada rangkaian Volvo di Malaysia, kami komited ke arah memberikan kualiti perkhidmatan cemerlang dan kenderaan yang selamat kepada pelanggan Volvo kami melalui pelaburan dan penambahbaikan yang berterusan dalam setiap aspek operasi kami. Dalam persekitaran hari ini, kami sangat menekankan soal kemampanan iklim dalam strategi dan keputusan perniagaan kami. Oleh itu, kami, dengan sepenuh hati menerima seluruh konsep VCDR yang menggunakan peralatan mesra alamnya, serta aliran kerja dan proses-prosesnya yang cekap,” kata Wong Fay Lee, Pengerusi Federal Auto Holdings Berhad.
[ad_2]
Source link