[ad_1]
Satu tahun selepas TMax 560 diperkenalkan kepada pasaran Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) kini melancarkan pula versi terbaru bagi skuter maxi tersebut, iaitu TMax Tech Max. Ia dijual pada harga RM74,998 tidak termasuk insurans dan cukai jalan dan ditawarkan dalam dua warna, iaitu Dark Petrol dan Power Grey.
TMax Tech Max diperkenalkan buat kali pertama kepada dunia April lalu, di Eropah, dan ia menampilkan rekaan serba baru yang lebih sporty, bersama lampu hadapan jenis projector baru yang bentuknya lebih nipis serta disepadukan sekali dengan lampu penunjuk arah (tiada lagi lampu penunjuk arah berasingan di bawah). Lampu belakang juga adalah baru, dengan nyalaan LED berbentuk T serta juga lampu penunjuk arah bersepadu.
Bagi memberikan tunggangan lebih sporty dan pada masa sama selesa kepada penunggang serta penumpang, ergonomik skuter ini diubah sedikit, melibatkan tempat duduk serta pelantar kaki yang dipanjangkan, badan yang lebih ramping serta pemegang yang menghasilkan tunggangan sedikit menunduk.
Meter sebelum ini yang menggunakan gabungan analog dan LCD telah diganti dengan unit TFT tujuh inci berwarna penuh baru, yang selain memaparkan pelbagai informasi penting, juga boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi MyRide-Link untuk memberikan akses kepada panggilan, notifikasi, muzik serta navigasi (sistem peta dari Garmin memerlukan bayaran tambahan RM27 untuk bulan pertama).
Bahagian lain masih sama seperti sebelum ini, termasuk enjin dua silinder selari DOHC 562 cc yang dipadankan bersama transmisi CVT dengan sistem pacuan tali sawat, menghasilkan 47.6 hp pada 7,500 rpm dan 55.7 Nm tork pada 5,250 rpm.
Senarai kelengkapan pada skuter ini juga agak panjang dan melibatkan pelbagai ciri canggih seperti penghadang angin kawalan elektrik, cruise control, pemanas tangan dan tempat duduk, sistem tanpa kunci, traction control, mod tunggangan, ruang simpanan besar di bawah tempat duduk serta tongkat tengah anti kecurian (hanya boleh diturunkan apabila kunci pintar ditekan).
Perincian lain TMax Tech Max 2022 ini adalah rim 15 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang, brek cakera 267 mm berkembar di hadapan dan cakera 282 mm di belakang, fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang, tangki bahan api 15 liter, berat 220 kg dan tinggi tempat duduk 800 mm.
Model yang dipasarkan di Malaysia ini dipasang di dalam negara (CKD), dan setakat ini, 40 unit pengeluaran pertama dan 40 unit lagi yang bakal dipasang pada bulan November sudah pun dijual kepada pelanggan. Selain jaminan dua tahun atau 20,000 km, 100 pelanggan pertama skuter ini juga akan menerima pek hadiah istimewa TMax.
[ad_2]
Source link